Raih CGPA 3.89, Gadis Kadazandusun Terima Anugerah Pelajaran Diraja UMS. Bakal Berkhidmat Di Luar Negara

Share

Untuk bergelar penerima Anugerah Pelajaran Diraja bukanlah mudah, penilaian bukan sekadar dari segi pencapaian akademik semata-mata tetapi kegiatan kokurikulum dan daya kepimpinan turut diambil kira.

Terbaharu, Kristy Samunting, 23, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Sabah sempena majlis konvokesyen university berkenaan yang ke-24. Merupakan graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sastera Dengan Kepujian (Seni Muzik) di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, dia menjadi pelajar pertama dari fakulti tersebut menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Dia tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan kerana beranggapan yang ia biasanya diberikan kepada pelajar dalam bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, akaun dan sebagainya.

“Saya terharu dan bangga atas kejayaan diri saya sekarang serta sangat bersyukur kepada tuhan. Jurusan saya sebelum ini adalah sains dan pernah bercita-cita untuk menjadi peguam ataupun arkitek. Namun saya menyedari bakat yang ada dalam diri dan mengambil keputusan untuk meneruskannya dalam bidang seni,” ujarnya.

Menurut Kristy, dia memang minat dalam seni muzik sejak dahulu lagi. Bakatnya itu disedari oleh ibunya sejak dia kecil lagi lantaran dia yang sering menyanyi setiap kali menyaksikan rancangan berunsur hiburan muzik muncul di kata televisyen. Tambahnya lagi, dia berasa sangat bersyukur kerana pilihannya untuk terus bergiat dalam dunia seni muzik adalah tepat.

“Saya mahu buktikan kepada orang ramai, walaupun mengambil seni muzik bukan bermakna hanya mampu menjadi artis sahaja, namun ada lebih banyak cabang lagi kita mampu lakukan dalam dunia seni ini,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Raih CGPA 3.98, Bekas Pengacara GoShop Dinobat Sebagai Graduan Terbaik Sekolah Perniagaan UNIRAZAK

Menurutnya lagi, semasa masih berstatus pelajar, dia melakukan kerja separuh masa menjadi guru vokal secara dalam talian, tetapi juga tidak lupa untuk melakukan tugasan dan praktis setiap hari kerana program ini memerlukan praktis yang sangat banyak di samping membaca bahan-bahan melalui e-book.

Kini, dia yang berasal dari Tambunan telahpun mendapat pekerjaan. Menariknya dia akan berkhidmat di luar negara. “Selepas ini saya akan ke Singapura kerana telah mendapat tawaran bekerja di Aureus Academy dan akan mula bekerja pada bulan Januari nanti,” ujarnya.

Kristy Samunting memegang teguh kepada moto do what you love, and love what you do merupakan gadis berbangsa Kadazandusun dan merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Facebook Universiti Malaysia Sabah

Published by
Fiezreen