Raih Empat Pingat Emas! Pengiran Aidil Auf Cemerlang Di Kejohanan Olahraga MSSM 2022

Share

Petang tadi acara 4 x 400m lelaki bawah 18 telah menutup tirai Kejohanan Olahraga MSSM 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pasukan Sabah cemerlang mengungguli acara terbabit apabila berjaya mencipta kejutan di saat akhir memintas atlet Johor yang pada mulanya mendahului larian.

Seiring kemenangan tersebut, atlet Sabah sekaligus berjaya mencipta rekod memperoleh 15 pingat emas, 16 perak dan 10 gangsa sekaligus meletakkan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai juara keseluruhan pendahulu carta pingat Kejohanan Olahraga MSSM edisi ke-62.

Pengiran Aidil Auf bersama jurulatih, Jumain Taepe

Seorang atlet muda yang mencuri tumpuan ramai ialah Pengiran Aidil Auf yang berasal dari Sandakan, Sabah. Dia yang baru berusia 17 tahun digelar Raja Pecut MSSM 2022 dek kerana berjaya memenangi acara 100-m lelaki bawah 18 dengan catatan masa 10.73 saat. Selain itu, dia turut menjuarai acara 200-m, 4 x 100m dan 4 x 400m.

Dengan rekod empat emas dalam genggaman, bintang sukan berbakat besar ini mencipta rekod baharu dunia olahraga MSSM apabila menyapu bersih acara yang disertainya. Dalam temubual bersama pihak media, Pengiran Aidil Auf berkongsi perasaannya sebagai atlet pecut cemerlang.

“Saya rasa sangat gembira, kerana saya menjanjikan empat emas, Alhamdulillah saya berjaya mendapat emas emas dan memecah rekod MSSM bagi acara 4 x 100-m,” ujarnya memanjat kesyukuran dengan kejayaan yang diperoleh.

Catatan masa yang menjadikannya Raja Pecut MSSM 2022

Apabila ditanya bilakah dia mula menjinak-jinakkan diri dalam acara pecut, dia menjawab, “Sebelum ini saya mengambil acara 400-m, saya beralih ke acara pecut baru setahun yang lalu.”

ARTIKEL BERKAITAN: Azeem Fahmi Cipta Rekod Baharu 100m Malaysia, Catat Masa 10.09 Saat

Kecemerlangan yang diperolehi tidak lengkap tanpa sokongan orang penting bagi dirinya. Dia mengucapkan terima kasih kepada kedua orang tuanya, jurulatih dan sahabatnya yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang dia menceburi dunia olahraga.

Tahniah REMAJA ucapkan kepada Pengiran Aidil Auf dan tahniah Sabah! Semoga terus cemerlang.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen