Bisnes

Raih Jualan Puluhan Ribu Dalam Masa Seminggu, Geng Pelajar Ini Jadi Inspirasi!

Share

Dimana ada kemahuan disitu ada jalan.

Seperti kisah geng pelajar ini pernah tular suatu ketika dulu yang pernah meraih jualan sebanyak RM19,000 dalam masa lima hari dengan bergantung pada pemasaran dari pintu ke pintu sekaligus menjadi inspirasi ramai.

ARTIKEL BERKAITAN : Seimbangkan Pelajaran & Tanggungjawab Dalam MPP, Danial Iskandar Dinobatkan Anugerah Pelajaran Diraja UTM

Selepas 2 tahun, salah seorang dari geng pelajar ini telah berkongsi perkembangan perniagaan mereka. Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan berkata, sambutan yang menggalakan ketika berniaga dari asrama di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas telah menaikkan semangatnya untuk terus menjana pendapatan sampingan.

Beliau yang kini menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Petani di Kedah berkata,

“Kali kedua jual baju dengan lebih 900 tempahan, kami meraih jualan sebanyak RM25,000 dalam masa seminggu. Waktu itu kami tidak lagi guna kaedah dari pintu ke pintu.

“Sebaliknya, kami berkolaborasi dengan pelajar-pelajar yang nak cari duit poket lebih. Kita bantu mereka buat duit, setiap baju yang mereka dapat jual ada komisen. Kiranya mereka macam jadi ejen kami buka tempahan,”

Semasa semester pertama pengajian pada awal 2022, pemuda berusia 21 tahun yang lebih mesra disapa Amzar ini berkata, dia dan pelajar lain masih perlu mengikuti kelas secara dalam talian dari rumah.

“Apabila kembali ke universiti pada semester kedua, saya tengok dulu persekitaran kolej sebelum jual baju. Kaji pasaran macam mana dan cara serta gaya hidup para pelajar.

“Saya kemudian mengasaskan satu pasukan yang diberi nama Axisto, terdiri daripada tujuh ahli iaitu empat pelajar lelaki termasuk saya dan tiga pelajar perempuan yang terdiri daripada pelajar di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.”

Bercerita mengenai rakan sepasukannya yang sebelum ini turut mengusahakan bisnes baju bersamanya ketika belajar di matrikulasi iaitu Danish Aiman Ahmad Rizal, Amzar berkata dia menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah tetapi masih meneruskan jualan di sana.

Mengubah kaedah jualan, Amzar yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu berkata, pembelian kini boleh dibuat menerusi laman web rasmi mereka.

“Sekarang ni boleh pakai jersi tapi berkolar ke kelas, jadi kami memastikan design lebih cantik untuk menarik lebih ramai pelajar memakainya.”

“Jualan baju yang tertinggi adalah kira-kira RM130,000 melibatkan 1,500 tempahan, dalam tempoh kurang 24 jam,” kata anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

Tambahnya lagi, dengan tujuh rekaan baju setakat ini, perniagaan mereka telah mencatatkan jualan keseluruhan lebih RM250,000.

Menariknya, kata Amzar, pelanggannya bukan sekadar pelajar UiTM dari seluruh negara, tetapi juga alumni universiti itu dan mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

“Ada juga yang sudah bekerja membeli, katanya dia bukan pelajar tapi suka cara kami berniaga. Ada juga yang bukan pelajar UiTM seperti pelajar politeknik pun berminat.

“Selain menaikkan penjenamaan UiTM, kami juga bercadang untuk memperkenalkan Axisto sebagai satu jenama. Ia sempena setahun penubuhannya pada April depan,” katanya sambil menambah mereka juga mahu memperkenalkan jaket dan hoodie, selain jersi berkolar.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, mereka tidak lari daripada komen-komen negatif namun memilih untuk menumpukan aura positif dalam perniagaan.

“Cabarannya adalah mulut orang, mereka kata jual baju bolehlah ramai pelajar nak beli. Bagi saya ia bukan isu, yang penting kita kena bijak fikir dan rajin ambil peluang.

“Buktinya, ada bukan pelajar UiTM dan yang bergelar pekerja pun berminat untuk membeli baju-baju kami. Pesanan saya, fokus untuk lima tahun akan datang, insyaAllah kita akan usaha betul-betul untuk capai apa yang kita nak.

“Nanti apabila masing-masing dah tamat pengajian, kami tetapi satu pasukan untuk Axisto. Mungkin setiap UiTM nanti akan ada team Axisto.

Mengakhiri perbualan, Azmar berkata dia bercadang untuk mengusahakan bisnes baju Melayu pada masa akan datang.

“Bagi saya, apabila pakai baju Melayu, saya rasa sesuai dan nampak handsome, jadi kenapa tidak menjuanya sebagai satu jenama,” katanya.

BACA LAGI : Cemerlang Dalam Pelajaran, Anak Lelaki Tan Sri Dr Noor Hisham Terima Anugerah Dekan UTM

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


 

Published by
Nana