Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 sudah pun bermula pada hari ini. Bagi pelajar SPM, selain sibuk dalam mengulang kaji semula segala subjek, satu persoalan juga pasti timbul mengenai pemilihan bidang pengajian di universiti kelak.
Memandangkan dunia kini berubah dengan pesat, anda pasti terfikir kursus apakah yang mempunyai permintaan tinggi untuk memastikan peluang pekerjaan lebih baik di masa depan. Kali ini, meh REMAJA kongsikan beberapa bidang pengajian yang sedang mendapat permintaan tinggi di pasaran yang mungkin boleh membantu anda untuk memilih course yang sesuai dengan minat masing-masing.
Dalam era serba digital kini, memang hampir semua perniagaan memerlukan pemasaran untuk bergerak lebih maju. Oleh itu, individu profesional yang mahir dalam strategi pemasaran digital, seperti pengiklanan di media sosial, SEO (Search Engine Optimization ), dan pemasaran kandungan, semakin banyak diperlukan oleh majikan.
Jika korang merupakan seorang yang kreatif dan dapat memanfaatkan kemahiran relevan dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah. Bidang ini sesuai sangat untuk korang!
Tahukah anda bahawa ‘Data Science’ merupakan satu lagi bidang yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Ini disebabkan dunia kini dipenuhi dengan data yang perlu dianalisis untuk menghasilkan keputusan yang tepat.
Course ini menggunakan statistik dan algoritma untuk menganalisis data besar dan memberi maklumat yang berguna untuk sesebuah organisasi. Selain itu, untuk peluang pekerjaan pula korang boleh terokai pelbagai industri seperti kewangan, teknologi, penjagaan kesihatan, dan banyak lagi.
Seterusnya, bagi yang berminat dalam sektor kesihatan, farmasi merupakan pilihan yang sangat relevan dan berprestij. Permintaan terhadap ahli farmasi sentiasa ada kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan ubat yang tepat dan memberi nasihat mengenai penggunaan ubat.
Selain itu, ahli farmasi juga bekerja rapat dengan doktor dan pesakit dalam memastikan penjagaan kesihatan yang terbaik. Ia juga menawarkan peluang pekerjaan yang stabil dan gaji yang menarik.
Ancaman siber dan kes-kes ‘scam’ semakin berleluasa, oleh itu bidang teknologi seperti ‘Cybersecurity’ turut mendapat ‘demand’ daripada majikan kerana kebanyakan syarikat memerlukan pakar yang dapat melindungi data dan sistem mereka daripada serangan siber.
Pelajar yang memilih kursus dalam bidang ini akan berpeluang bekerja dalam industri yang sangat kritikal dan memberi impak besar kepada keselamatan dunia digital.
Bak pisang goreng panas, bidang teknologi seperti Software Engineering adalah salah satu pilihan bidang pengajian yang paling laku di pasaran pekerjaan. Seiring dengan perkembangan teknologi, keperluan untuk perisian yang berkualiti semakin meningkat.
Maka, jurutera perisian bertanggungjawab dalam membina aplikasi, sistem, dan program komputer yang digunakan oleh pelbagai sektor. Bidang ini bukan sahaja menawarkan peluang kerjaya yang luas tetapi juga memberi peluang kepada korang untuk bekerja dengan teknologi terkini dan menyumbang kepada penciptaan inovasi baru.
Akhir sekali, sudah tentu dengan perkembangan industri permainan video atau e-Sports yang semakin hangat. Permintaan terhadap pereka atau pencipta permainan juga turut meningkat. Dalam bidang ini, anda berpeluang mencipta pengalaman permainan yang menarik dan inovatif. Bagi pelajar yang berminat dalam teknologi, kreativiti, dan seni reka bentuk, ini adalah pilihan yang sangat tepat!
Kesimpulannya, tidak kira bidang apa yang dipilih, sangat penting bagi pelajar SPM untuk mengenal pasti minat dan bakat korang tersendiri. Walaupun ada banyak bidang yang ‘demand’, namun memilih pengajian yang sesuai dengan minat adalah kunci untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya di masa hadapan.
Selain perlu bijak dalam membuat keputusan agar dapat menyesuaikan pendidikan dengan perkembangan pasaran dan peluang kerjaya yang tersedia, korang juga perlu percaya pada rezeki yang sudah diaturkan oleh tuhan untuk kita.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.