Kali terakhir Malaysia mengirimkan wakilnya ke pentas Miss Supranational adalah pada tahun 2018. Ketika itu negara diwakili oleh gadis berdarah India, Sanjna Suri yang berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 25 terbaik daripada 72 peserta keseluruhan yang menyertai pertandingan itu.
Kini untuk tahun 2022, akhirnya takhta yang dipegang oleh Sanjna Suri selama empat tahun berpindah tangan kepada gadis cantik dan manis, Melisha Lin. Dia bakal mewakili Malaysia ke Poland untuk merebut mahkota pertandingan berprestij ini.
Bukanlah asing dalam dunia ratu cantik tempatan, Melisha dipilih dari kalangan mereka yang menghantar pernyertaan dan disenarai pendek sebagai finalis top 2 bersama seorang lagi peserta, Vinthiya Vasu. Mahkota Miss Supranational Malaysia 2022 menjadi miliknya, apabila dia memperoleh keputusan undian paling tinggi.
Kemenangan gadis dengan ketinggian 177cm ini diumumkan pada 14 Mei 2022 oleh Dr. Sean Wong yang merupakan pemegang francais pertandingan itu bagi Malaysia menerusi siaran langsung Facebook syarikatnya hyperlive.tv.
Menurut Dr Sean Wong lagi, organisasinya telah memilih dua peserta terbaik dan memberikan rakyat Malaysia kesempatan untuk mengundi siapakah peserta yang paling mereka mahukan sebagai Miss Supranational Malaysia yang baharu.
Walaupun kemenangan Melisha Lin diumumkan secara dalam talian, satu majlis eksklusif akan diadakan pada bulan Jun akan datang untuk memahkotakannya. Dalam hantaran yang dimuat naik oleh Dr Sean Wong di laman Instagramnya, majlis tersebut akan diadakan di butik perhiasan kemas, Ceres Jewels Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN: Sanjna Suri, Miss Supranational Malaysia 2018 Jadi Wajah Pesta Berlian Jenama Terkemuka
Berusia 24 tahun, Melisha merupakan graduan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran daripada University of Greenwich. Sebelum ini dia pernah menyertai pertandingan Suprastarsearch 2021 dan bergelar finalis.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam pertandingan Miss Supranational adalah pada tahun 2015 menerusi perwakilan Tanisha Demour Kaur, ketika itu dia berjaya menjadi peserta 10 terbaik. Adakah Melisha akan mengulangi sejarah ini? Sama-sama kita nantikan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.