‘Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat‘
Secara literal, warisan negara dapat ditakrifkan sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional juga turut tergolong sebagai aset negara yang harus dipupuk dan dikekalkan.
Dalam usaha meraikan tarian tradisional, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) di bawah kolaborasi Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal baru-baru ini terpanggil untuk menganjurkan Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung”.
Program ini sekaligus dapat memperkasakan pelajar KPSK, UiTM dalam memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.
Menurut Dr. Juriani Jamaludin, Ketua Pengajian Konservatori Muzik, konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung ini mampu memperkasa dan menyerlahkan bakat para pelajar KPSK kerana hasil dari gabungan ketiga-tiga pengajian ini dapat dijadikan platform awal dałam mempersiapkan pelajar menuju ke alam pekerjaan.
Hal ini sekaligus menyumbang kepada kerancakan dan kepelbagaian acara dalam memartabatkan seni budaya tempatan.
“Kemasyhuran sesebuah negara bergantung kepada manifestasi seni dan budayanya kerana ianya memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah bangsa dan negara yang beridentiti,” komen Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim yang turut merangkap rakan media rasmi konsert tersebut.
Jelaslah bahawa melibatkan Portal Majalah Remaja yang fokusnya kepada golongan remaja amatlah bersesuaian dalam usahasama memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.
”Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” akan berlangsung pada 14 dan 15 Julai bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Konsert bermula pada pukul 8:30 hingga 10:30 malam.
Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” adalah satu persembahan pentas yang mengangkat budaya muzik dan tarian tradisional Melayu seperti Asli, Inang, Zapin, Joget, Caklempong, Gamelan dan Canggung.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah Bunga Tanjung (Asli), Zapin Panglima (Zapin Dayung), Inang Paku Lanang (Inang), Umpan Jinak Di Air Tenang (Joget), Ala Canggung (Canggung), Merbau Caklempong, Perang (Gamelan), Rajuk Rindu (Kontemporari Zapin) dan Ghazal Seri Mersing.
Untuk rekod, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan terus berusaha dalam memastikan penghasilan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri, seterusnya dapat menyerlahkan potensi pelajar, tenaga kerja dan sekaligus membentuk modal insan yang mampu bersaing di masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan program Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung”, boleh hubungi Nazifa, di talian 011 – 61314830 atau rujuk laman media sosial rasmi Instagram @chronicleproduction23.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Chronicle Production