Negara sudah dilanda musibah banjir pun, macam-macam perangai pelik masih dilakukan masyarakat.
Berikutan musibah banjir besar yang melanda seluruh negara baru-baru ini akibat hujan lebat berterusan, pelbagai inisiatif bagi membantu serta meredakan keadaan bencana telah dilakukan oleh masyarakat demi membantu mangsa.
Slogan #RakyatJagaRakyat turut lantang dilaungkan selama beberapa minggu ini sebagai pendorong semangat kepada orang ramai untuk terus menghulurkan bantuan.
Tapi bantuan yang satu ini memang pelik dan tidak masuk akal dari sudut agama. Siapa lagi kalau tidak lain tidak bukan individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh iaitu Ibrahim Mat Zain.
Menerusi satu video berdurasi 25 minit 9 saat, ia menunjukkan Ibrahim dan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ sedang duduk bersila di sebuah dataran dekat Teluk Intan, Perak. Mereka tampil dalam persalinan rasmi masing-masing – Ibrahim memakai kot hitam dan selempang merah manakala Puteri Zaleha dalam persalinan ungu cair siap dengan tiara.
Beberapa upacara yang dipercayai bercanggah daripada ajaran Islam telah dilakukan untuk menolak musibah banjir.
Ini termasuklah ritual tepung tawar menggunakan bahan seperti beras, kunyit, bunga-bungaan dan dedaun yang kemudian dihanyutkan ke dalam air. Di hadapan mereka berdua pula adalah kitab suci Al-Quran. Puteri Zaleha juga berkata dia dapat meramalkan Teluk Intan akan dilanda banjir tidak lama lagi.
Susulan video tular tersebut, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana cuba mencela dan menghina agama Islam.
Bagaimanapun, Ibrahim yang sebelum ini sudah sinonim menerima kecaman warganet atas upacara pelik yang dilakakannya tampil bersedia dengan reaksi balas setelah laporan kertas siasatan itu diketahui umum.
Menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook Datok Ibrahim Md Zin sebentar tadi, Ibrahim berkata dia telahpun berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan saman berjumlah RM300 juta terhadap JAIPk kerana mendakwanya syirik dan khurafat.
“Tujuan saya buat itu supaya banjir jangan naik besar di Teluk Intan. Saya buat supaya banjir jangan melanda Sungai Manik, Labu Kubong, Kampung Gajah, Parit dan Bagan Datuk.
“(Saya) berdoa dan menggunakan daun serta kayu dilepaskan (ke sungai). Tujuan saya untuk selamatkan tapak perkuburan. Jangan hilang makan diraja. Orang tua saya dan keturunan saya banyak dikebumikan di Teluk Intan.
“Bukan tujuan saya untuk berbangga atau (mencari) publisiti,” jelasnya.
Sementara itu, negeri Perak dilaporkan telah menetapkan fatwa untuk mengharamkan segala ajaran serta perbuatan yang bercanggah dengan agama Islam oleh Ibrahim.
Untuk pengetahuan korang, Ibrahim pernah melakukan ritual pada tahun 2017 ‘melindungi’ Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara setelah kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Sebelum itu pada tahun 2014, beliau pernah mencuri tumpuan dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dengan ritual menggunakan ‘sampan’, teropong buluh dan buah kelapa demi mencari pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang tanpa dikesan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.