Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menjadi contoh yang baik dan inspirasi kepada rakyat Malaysia apabila baginda berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran di Universiti Malaya (UM).
Baginda menerima skrol penganugerahan pada Majlis Konvokesyen UM kali ke-63 pada Sabtu lalu daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga merupakan canselor universiti tertua di Malaysia itu.
Turut berangkat sama menghadiri majlis konvokesyen tersebut ialah suami baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Apabila berbicara tentang Ijazah Kedoktoran, semestinya sebuah kajian atau tesis diwajibkan untuk setiap calon tamat pengajian sekaligus bergelar doktor falsafah. Seperti calon lain, baginda turut menyiapkan tesis.
Berada di bawah Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam UM, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyiapkan tesis dalam Bahasa Inggeris bertajuk “The Importance of Islamic Regal Leadership in Zakat Delivery to the Asnaf in Perlis
”.Sangat mementingkan pendidikan, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebelum ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Bachelor Humanities) di La Trobe University, Melbourne, Australia pada tahun 1989 dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2014.
Kini baginda merupakan Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).
Semoga dengan kejayaan yang ditempa oleh baginda menjadi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk turut sama mementingkan pelajaran dan tidak mengabaikan pengajian di peringkat tertinggi.
Kredit foto: Universiti Malaya & Bernama
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.