Eww! Serius tak boleh brain bagaimana pekerja di restoran Raj’s Banana Leaf boleh tergamak untuk membasuh talam hidangan dengan air yang kotor.
Restoran yang terletak di Bangsar itu bertukar viral atas sebab yang salah setelah sebuah video yang menunjukkan perbuatan jijik itu tersebar semalam. Difahamkan, insiden itu melibatkan pekerja baru mereka dan pihak Raj’s Banana leaf telahpun mengeluarkan kenyataan mohon maaf atas kejadian tersebut.
Bagaimanapun hari ini, restoran tersebut telah diarahkan untuk ditutup serta merta oleh bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.
Sekitar jam 9.20 pagi tadi, seramai 10 pegawai daripada jabatan tersebut tiba untuk memeriksa premis tersebut. Raj’s Banana Leaf yang bertindak untuk tidak beroperasi pada hari ini diwakili oleh pekerjanya bagi tujuan pemeriksaan tersebut.
Hasil siasatan dan selepas meneliti video pekerja yang membasuh talam di dalam lopak air tersebut, arahan agar premis itu ditutup untuk sementara waktu telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Mungkin ada baiknya kejadian ini terjadi. Ia agar premis seumpamanya yang lain akan lebih mementingkan isu kebersihan dan kualiti makanan serta minuman yang dihidangkan kepada pelanggan.