Tahun lalu ketika majlis konvokesyen Universiti Malaya kecoh selepas seorang pelajarnya Wong Yan Ke mengangkat placard dan melaungkan “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia selepas menerima scrol ijazahnya.
Jarang terjadi, kes di pentas utama ini mendapat liputan meluas dari pihak media selain begitu ramai mahasiswa bersuara berkaitan kebiadapan ditunjukkan oleh pemuda tersebut. Malah pihak UM sendiri dalam satu kenyataan media berkata, tindakan pelajar berkenaan, Wong Yan Ke adalah biadap dan tidak dapat diterima sama sekali.
“Sehubungan itu, Universiti Malaya telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. Kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan untuk tindakan sewajarnya diambil,” petik kenyataan itu.
Malah sejak semalam juga media sosial kecoh bila mana aktivitis pelajar ini sekali dilihat cuba “mengganggu” tugas polis dengan membuat rakaman secara langsung di fb selepas pihak polis datang untuk menahan Presiden Universitu Of Malaya Association Of New Youth (UMANY) Robin Yap yang terletak di Seksyen 17, Petaling Jaya berhubung satu tulisan yang menghina DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong sebelum ini.
Dalam pada itu, kes ini menjadi kecoh selepas Wong Yan Ke membuat siaran secara langsung berhubung kes penahanan itu dan mencetuskan tanda tanya boleh ke orang awam merakam secara live kes-kes begini?
Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) berkata merakam serbuan polis bukan suatu kesalahan.
Presidennya Salim Bashir berkata, aktivis pelajar Wong Yan Ke tidak melanggar undang undang ketika merekodkan serbuan polis di rumah rakannya, kerana tindakan itu tidak menimbulkan sebarang bentuk keganasan yang boleh mengganggu tugas penjawat awam.
Beliau meminta polis menggunakan budi bicara sewajarnya dalam semua keadaan ketika menjalankan tugas.
“Selagi pegawai polis menjalankan tugas mengikut undang-undang, tidak ada alasan untuk mereka melarang rakaman itu.
“Ia tidak boleh ditafsirkan sebagai tindakan agresif atau mengancam yang akan membawa kepada kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salim memberikan contoh pegawai penguatkuasa di negara lain seperti di AS dan UK, juga menggunakan kamera badan dan papan pemuka untuk merakam interaksi orang ramai dan mencegah salah laku polis.
Beliau berkata, pada September tahun lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut menyatakan penggunaan kamera badan akan memastikan ketelusan dalam pasukan keselamatan itu.
“Tugas polis sangat penting dalam meningkatkan keselamatan dan kepercayaan masyarakat. Majlis Peguam menggesa polis menggunakan budi bicara mereka sewajarnya dan munasabah dalam setiap situasi,” katanya.
Terkini Wong Yan Ke sudah dibebaskan sekitar jam 12.20 tengah hari semalam selepas ditahan polis sejak 3 petang kelmarin.
Bercakap kepada media di hadapan balai polis Mutiara Damansara, peguamnya Rajsurian Pillai mengatakan bahawa dia dibebaskan dengan jaminan polis tetapi telefonnya dirampas oleh polis.
Wong memberitahu media bahawa dia "letih dari segi mental" kerana ditahan lebih 15 jam meskipun sesi soal siasat hanya mengambil masa kurang dari satu jam.( sumber Malaysia Kini)