REMAJA pernah melaporkan mengenai penutupan operasi beberapa syarikat besar di Rusia. Ia dilakukan sebagai respon balas mereka membantah tindakan ketententeraan Presiden Rusia, Vladimir Putin terhadap Ukraine.
Antara yang mengambil tindakan sedemikian rupa termasuklah francais makanan segera popular dari Amerika Syarikat, McDonald’s.
ARTIKEL BERKAITAN : Perang Ekonomi Bermula : McDonald’s, Starbucks & Apple Tutup Operasi Di Rusia – REMAJA
Memetik kata-kata CEO-nya Chris Kempczinski dalam satu pekeliling kepada semua pekerja di sana, 847 buah cawangan McDonald’s di Rusia ditutup buat sementara waktu sebagai mesej kepada kepimpinan Rusia untuk tidak meragut nyawa rakyat Ukraine yang tidak bersalah.
Sehingga kini, agensi pelarian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih daripada 2.1 juta rakyat Ukraine telah meninggalkan negara itu dan memasuki negara jiran.
*
Walaupun penutupan operasi McDonald’s secara sementara baru saja dilaksanakan Selasa lalu, masyarakat di Rusia terutamanya anak muda mulai gelisah, tidak boleh duduk diam dan mengidamkan menu kegemaran daripada McDonald’s.
Khabarnya, sebilangan produk McDonald’s sedang terjual pada harga tidak masuk akal di pasaran gelap ataupun ‘black market’ secara atas talian. Lapor Anadolu Agency, telahpun ada hamburger yang berjaya dijual pada harga USD150 atau kira-kira RM647!
Fuhh, boleh beli puluhan set burger tu di McDonald’s Malaysia.
Menurut salah seorang penduduk di sana kepada Anadolu Agency, keputusan penutupan operasi ini tidak masuk akal dan menyedihkan. Dakwanya, remaja di sana kini tidak lagi mempunyai kawasan untuk ‘lepak’ dan berbual selepas sekolah memandangkan kafe atau restoran lain menjual menu yang terlalu mahal.
*
Sedikit info mengenai sejarah McDonald’s di Rusia; francais pertamanya telah dibuka pada tahun 1990 di Dataran Pushkin, Moscow.
Menurut laporan Washington Post pada waktu itu, orang ramai sanggup berbaris sepanjang lebih 450 meter di luar pintu McDonald’s pada waktu itu demi mendapatkan pesanan pertama mereka di Rusia.
Kini, cawangan ini telah berubah wajah menjadi lebih kontemporari, menyelesakan dan luas setelah ia melalui proses pengubahsuaian pada tahun 2020.
BACA LAGI : Makan McDonald’s Tanpa ‘Rasa Bersalah’, Cawangan China Sediakan Basikal Senam! – REMAJA
Sumber : BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.