Batu tunggul yang menjadi ikon pelancongan di perairan Taman Negara Bako, Sarawak disahkan telah runtuh pada petang Selasa, 13 Februari.
Batu berbentuk seakan kepala ular tedung yang muncul dari permukaan air itu telahpun menjadi salah satu imej yang sinonim dengan negeri Bumi Kenyalang itu bagi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin bergambar dengannya.
Batu tunggul itu secara tidak langsung banyak membantu ‘menjana’ sumber pendapatan rakyat di Sarawak sejak Bako diisytiharkan sebagai sebuah taman negara pada tahun 1957.
Memetik kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kepada rakan media di TVS, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, semalam.
“Saya berasa amat sedih mendapat berita batu tunggul atau sea stack di Taman Negara Bako telah sampai ke hujung hayatnya dan jatuh ke laut,” katanya. Punca berlakunya runtuhan itu buat masa ini masih belum dikenalpasti.
Berita itu turut tular dikongsi di media sosial dan tinjauan REMAJA mendapati rakyat negeri Sarawak berduka apabila mendapat tahu mengenainya. Sesetengah juga beranggapan ia runtuh akibat hakisan dan gelombang air yang kuat menghempasnya sejak dua tiga hari lepas.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenali Gajah Oleng, Busana Tradisi Melayu Sarawak Yang Digayakan Camelia Di Istana Negara – REMAJA
Sebagai info, pembentukan batu tunggul ikonik itu adalah kesan daripada pergerakan gelombang ombak laut selama beratus-ratus tahun. Lalu, timbunannya membentuk batu laut yang unik malah menjadi salah satu khazanah geologi negara.
Selain batu tunggul, Taman Negara Bako juga terkenal dalam kalangan pelancong yang ingin meninjau kekayaan alam semulajadi di Sarawak yang dikatakan mempunyai hampir setiap jenis tumbuh-tumbuhan yang boleh didapati di seluruh kepulauan Borneo.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.