Pengaruh yang dimiliki oleh Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali oleh 3.7 juta pengikut di akaun Instagram sebagai Khairul Aming telahpun terbukti setelah beliau diangkat sebagai penerima anugerah Creator Of The Year di acara TikTok Awards Malaysia 2023.
Khairul Aming, 33 yang terkenal dengan video-video berkonsepkan resepi ciptaannya sendiri yang kelihatan mudah untuk dicuba oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia atau latar belakang diakui ramai merupakan pencipta kandungan atau content creator paling layak untuk membawa pulang gelaran Creator Of The Year tersebut.
Ini memandangkan beliau sentiasa cuba memperbaiki kualiti penghasilan kandungan video resepinya di media sosial malah berani juga berkecimpung dalam aliran perniagaan menerusi produk laku keras, ‘Sambal Nyet’.
ARTIKEL BERKAITAN: Khairul Aming Banyak Kali Gagal Sebelum Berjaya Buka 2 Kilang
BACA LAGI: Dengar Dulu Nasihat Khairul Aming & Boss James Ini
Menariknya, bukan hanya kemenangan Khairul Aming di TikTok Awards Malaysia yang julung kali diadakan semalam yang hangat disebut-sebut di media sosial. Turut mencuri tumpuan adalah kandungan ucapan Khairul Aming yang tanpa berselindung menitipkan prinsipnya bahawa keinginan anak-anak muda bagi menjadi seorang pencipta kandungan haruslah selari dengan keinginannya untuk menimba ilmu pengetahuan.
Memetik ucapan jejaka berusia 33 tahun itu, beliau risau dengan trend pengikut mudanya yang ingin mudah mewah, tular dan menjadi sebutan masyarakat melalui cara menjadi pencipta kandungan. Sedangkan, keinginan untuk mencedok ilmu pengetahuan dengan menyambung ke pengajian tertinggi seperti Sarjana Muda dilupakan begitu sahaja.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memberi satu ucapan kepada anak-anak muda yang nak jadi content creator (pencipta kandungan).
“Adik-adik yang masih bersekolah, teruskan pembelajaran. Walaupun awak nak jadi content creator awak kena ingat, jadi content creator ini bukan sekadar untuk viral.
“Untuk (kekal) relevan lama dalam industri, awak perlukan banyak pengetahuan. Critical thinking, problem solving.
“Ada adab, ada common sense. Okay? Jadi, habiskan pembelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus (dan) yang boleh majukan negara kita Malaysia,” ujarnya sambil menyelitkan ucapan Hari Kemerdekaan ke-66 yang bakal menjelang minggu ini kepada semua penonton.
Menjenguk ke ruang komen, rata-rata netizen merasa bangga dan bersetuju dengan apa yang dipesan oleh anak jati Kelantan itu.
“Nasihat yang amat berguna kepada anak muda masa kini.”
“Betul tu. Cari ilmu, belajar itu penting. Ramai sekarang nak popular je belajar tak nak.”
Betul sangat apa yang diungkapkan oleh Khairul Aming itu. Tahniah kepada beliau di atas pengiktirafan yang diterima pada edisi sulung TikTok Awards Malaysia dan diharap agar ramai membuka minda serta hati mereka terhadap mesej apa yang disampaikan oleh beliau.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.