Terasa begitu pantas masa berlalu, seperti baru sahaja kita menyempurnakan sahur pertama di bulan Ramadan, kini Syawal pula menjelma. Sedar tak sedar sudah hari ke tiga kita menyambut Aidilfitri .
Walaupun beraya di musim PKPB akibat Covid19, namun kemeriahannya tetap dirasai!
Namun kekeliruan mula timbul apabila ada yang menggabungkan niat puasa enam serentak dengan puasa ganti (qada). Banyak hujah dan persoalan yang berlegar terutamanya di media sosial mengenai perkara ini. Justeru, kami memetik semula penjelasan terkini (Jun 2019) dari Mufti Wilayah Persekutuan tentang isu ini.
Menerusi rakaman dari berita RTM , Mufti Wilayah Persekutuan juga turut menjelaskan terdapat dua pandangan ulama di mana yang pertama terdapat pandangan puasa sunat enam dan puasa ganti hendaklah diasingkan. Ada pula pendapat kedua menyatakan hukum menggabungkan niat puasa ganti dan puasa sunat enam dibolehkan.
Melihat pandangan yang berbeza pastinya ramai antara kita menjadi ragu-ragu untuk melakukan amal ibadah ini bukan.
Jika dilihat di umat Islam di Malaysia cenderung mengikuti Mazhab Imam Syafie, justeru itu mengikuti pandangan dari Imam Syafie dimana amal ibadat puasa sunat enam dan puasa ganti dilakukan secara berasingan.
Kenali Apa Itu Puasa Sunat Enam
Puasa sunat enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal. Selain itu, puasa sunat enam ini juga boleh dikerjakan secara berselang-seli dalam bulan Syawal.
Untuk pengetahuan semua sebenarnya besar fadhilat serta ganjaran mengerjakan puasa sunat enam ini. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu’anhu, beliau telah berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun” – Hadis riwayat Imam Muslim
Cara niat puasa sunat enam
.
“Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari syawal kerana Allah Taala”
So,kesimpulannya lebih afdal kita lakukan puasa sunat enam dan puasa ganti secara berasing, jom puasa sunat enam Syawal esok!