Ramai Yang Keliru Boleh Ke Potong Kuku & Rambut Ketika Haid? Ini Penjelasan PU Azman

Share

Bagi golongan perempuan, mungkin ada yang tertanya-tanya adakah dibolehkan seorang wanita itu memotong kuku atau menggunting rambut ketika mereka berada dalam hadas besar seperti haid dan nifas?

Nah, mungkin kita sering mendengar kata-kata orang yang mengatakan haram bagi seorang wanita memotong kuku atau rambutnya ketika datang haid, namun persoalannya adakah ia memang benar-benar haram?

Gambar hiasan

Tidak dinafikan sedari kecil, kami juga menyangka bahawa perbuatan ini haram dilakukan ketika haid. Jadi, bila dah dewasa timbul pula rasa keliru kerana ada yang kata haram dan ada pula yang berkata tidak haram.

Menyentuh tentang isu ini, jom kita baca kupasan daripada PU Azman yang pernah dikongsi di laman Instagramnya.

Foto: Instagram PU Azman

Menurutnya, tiada dalil yang melarang wanita yang sedang dalam haid, nifas atau hadas besar, junub untuk memotong kuku, rambut dan bulu. Dan mereka juga tidak perlu membawa semua yang dah dipotong ketika mandi wajib kerana tiada dalil yang mewajibkannya.

Sebelum ini mungkin korang juga pernah mendengar bahawa setiap kuku atau rambut yang dipotong ketika haid perlu dibawa bersama ketika mandi wajib atau ditanam, tapi PU Azman telah pun menerangkan bahawa ia sebenarnya tidak perlu.

Katanya lagi, tidak ada kaitan langsung kuku atau bulu yang tak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat kerana tiada dalil tentang itu. Disebabkan ini membuatkan perempuan takut untuk memotong kuku ketika haid.

Kredit foto: The Guardian

Terdapat sebuah hadis ketika Aisyah, isteri Nabi SAW menunaikan haji Wada’ bersama Nabi dan ketika itu Aisyah sedang dalam haid dan Nabi memintanya untuk mandi dan bersisir.

Maksud hadis: “Uraikan rambutmu dan bersikatlah. Serta berihlal (talbiyah) dengan haji dan tinggalkan umrah,” (Bukhari Muslim).

Daripada hadis ini, kita semua sedia maklum bahawa bersikat akan mengundang risiko menggugurkan rambut sedangkan Nabi tidak langsung mengingatkan Aisyah tentang rambut gugur yang mesti dibawa ketika mandi wajib nanti.

Jadi kesimpulannya, korang BOLEH/HARUS potong rambut dan kuku ketika haid atau dalam hadas besar. Tidak wajib tanam kuku atau bulu atau rambut yang sudah dipotong. Buang sahaja dengan baik, disamping menjaga kebersihan. Kalau nak tanam, terpulang. Tapi, kalau nak tanam dengan kepercayaan tertentu, maka khurafat.

Maka dengan pencerahan ini diharap dapat memberikan keterangan yang jelas untuk golongan perempuan yang mungkin selama ini keliru tentang isu tersebut. Jadi, tak perlulah lagi kita nak sampaikan info-info yang tidak betul dan menggelirukan orang ramai.

Sumber: PU Azman

Published by
Noor Ain Norman