Setelah agak lama menyepi daripada menganjurkan sebarang pertandingan nyanyian yang melibatkan penyertaan amatur, Astro kini bakal menganjurkan program All Together Now Malaysia (ATNMY) bermula awal Jun nanti.
Program nyanyian ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang had umur dan penyertaan terbuka secara solo, duo, trio mahu pun berkumpulan.
Mungkin ramai yang sudah tahu, ATNMY adalah sebuah program adaptasi daripada format reality show antarabangsa popular ‘All Together Now’ yang berasal dari United Kingdom. Program realiti ini berjaya menetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format tersebut diadaptasi semula di serata dunia termasuklah Australia, Rusia, Turki, Brazil, Denmark dan banyak lagi.
Keunikan utama program ‘ATNMY’ yang dikendalikan oleh Sherry Al Hadad selaku ‘Hos’ ini terletak kepada jumlah bilangan juri profesional dan peserta yang cukup besar melibatkan seramai 50 juri tetap dan hampir 250 jumlah keseluruhan peserta untuk musim pertama.
Walaupun program asal menampilkan 100 orang juri, namun disebabkan situasi pandemik dan mengambil kira SOP serta kapasiti yang dibenarkan, hanya 50 juri selebriti akan diketengahkan berbanding format sebenar. Antara barisan juri selebriti yang terpilih adalah Erra Fazira, Siti Nordiana, Tuju K-Clique, Khai Bahar, Chubb-e, Haniff Era dan ramai lagi.
Selain Sherry Al Hadad yang akan mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’, program ‘ATNMY’ turut membawa masuk gandingan Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar bagi memeriahkan musim pertama sebagai ‘Hos’ untuk program kapsul ‘Di Sebalik All Together Now Malaysia’.
Antara peserta yang bakal mewarnai musim pertama termasuklah Zaki Yamani yang merupakan anak kepada legenda negara Jamal Abdillah, Najua P. Ramlee; cucu kepada seniman negara Allahyarham Tan Sri P Ramlee, komposer jingle & personaliti Tik Tok; Ajoi Zainal, penari & influencer; Baelon, penyanyi; Meer Nash, Kumpulan Pancit Sitaya yang memperjuangkan genre irama Malaysia & Dangdut.
Jangan lupa saksikan All Together Now Malaysia yang bakal bersiaran di saluran Astro Ria bermula 6 Jun ini. Juara ‘ATNMY’ musim pertama juga bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 beserta sebuah trofi.
Siapa bakal bergelar juara? Sama-sama kita saksikan hanya di Astro Ria.