Bintang muda Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali, menutup tirai musim 2023 dengan cukup cemerlang apabila dinobatkan sebagai ‘Breakout Star Of The Year’ oleh ONE Championship.
ARTIKEL BERKAITAN: Atlet Boling Muda Negara Buat Kejutan, Raih Emas Dalam Boling Remaja Asia
Petinju berusia 17 tahun itu dijulang dengan gelaran tersebut setelah memperagakan aksi luar biasa sepanjang pertarungan musim ini.
Jom REMAJA kongsikan fakta menarik berkaitan petinju negara termuda ini!
Jojo atau nama sebenarnya, Muhammad Johan Ghazali dilahirkan pada 14 November 2007 di Putrajaya, Malaysia.
Remaja hebat ini kemudian menetap di Kajang selepas sebelum berpindah ke Kuching, Sarawak pada tahun 2015.
2. Atlet kacukan Malaysia-Amerika
Anak kedua daripada 4 orang adik beradik, atlet ini merupakan anak kepada Zulfiqar Muhammad Ghazali dan Jennana Johnson.
Bapanya seorang pegawai polis, manakala ibunya merupakan suri rumah kepada empat anak mereka iaitu tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan.
“Jojo” mempunyai darah kacukan, dengan bapanya separuh warga Indonesia dan separuh Jepun-Malaysia, manakala ibunya merupakan warga Amerika dari New Mexico.
Pada awalnya, ibu bapa Johan bertemu di Oregon semasa ayahnya belajar di sana, dan dengan minat yang sama terhadap Muay Thai, mereka menjalinkan hubungan di gim sebelum kembali ke Malaysia.
3. Mula berjinak dengan dunia Muay Thai pada usia 10 tahun
Meskipun kedua-dua ibu bapanya sangat aktif mempraktikkan Muay Thai, Johan tidak pernah dipaksa untuk turut serta.
“Sepanjang membesar, Muay Thai sentiasa menjadi sebahagian daripada hidup saya. Ayah dan ibu saya seorang fighter. Jadi mereka sentiasa mengajar saya gerakan Muay Thai dan sebagainya.
“Namun saya hanya mula serius mempraktikkan sukan ini pada usia 10 tahun. Sebelum usia tersebut, saya hanya meluangkan masa dengan mencubanya secara seronok di gim,” jelasnya menerusi temuduga bersama One FC.
4. Dikenali Sebagai ‘Jojo’ Dalam Dunia Muay Thai
Terkenal dengan nama gelarannya iaitu ‘Jojo’, remaja ini berjaya menempah nama apabila berjaya mengalahkan lawannya hanya dalam masa beberapa saat sahaja.
Tahun lepas, Johan telah diangkat sebagai juara dalam kejohanan Muay Thai ISMA 2022 setelah mengalahkan lawan dari Rusia, Rustam Yunusob.
Kemudian, pada 24 Februari 2023, nama beliau sekali lagi disebut-sebut apabila berjaya membuat penampilan sulungnya di kejohanan ONE Championship di Bangkok, Thailand.
Hanya memerlukan 16 saat untuk mengalahkan pihak lawannya iaitu Padetsuk Fairtes, prestasi remaja berusia 17 tahun ini jelas membanggakan apabila beliau kemudian berjaya membawa balik ganjaran wang tunai berjumlah 10 ribu USD.
5. Pecah rekod sebagai atlet termuda
Atlet berusia 17 tahun ini membina reputasinya terlebih dahulu di peringkat serantau dengan memenangi kejohanan berprestij dan mencatat rekod 11-1 pada tahun 2022.
Pencapaian hebat ini kemudian membawanya ke acara Road to ONE di Malaysia, di mana aksi cemerlangnya di situ berjaya menempatkan dirinya sebagai atlet ONE pada usia 16 tahun. Wow!
“ONE Championship sudah menjadi matlamat saya dari awal lagi. Rancangannya adalah untuk memenangi kejohanan besar, menimba pengalaman di Thailand, dan kemudian bertarung di ONE Championship.
“Pertarungan kalah mati selama 16 saat (dalam penampilan sulung ONE saya) adalah sesuatu yang amat mengejutkan bagi saya. Namun sejujurnya saya anggap pencapaian ini sebagai permulaan sesuatu yang baharu,” jelasnya lagi.
Sebagai atlet ONE termuda pada masa penampilan pertamanya, Johan kemudia mengorak langkahnya dengan memenangi empat perlawanan berturut-turut menentang lawan yang cukup hebat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO/ARTIKEL: Instagram ONE, Johan Ghazali