
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada hujung minggu ini, Rapid KL akan memanjangkan waktu operasinya sehingga 24 jam tanpa henti.
Perkhidmatan akan bermula seawal pukul 6 pagi pada 30 Ogos dan akan terus beroperasi sehingga jam 11:30 malam pada 31 Ogos. Ia melibatkan laluan kereta api dan bas terpilih.
ARTIKEL BERKAITAN: Semangat Patriotik! Aunty India Ini Sanggup Keluarkan Wang Untuk Hiasi Rumah & Kereta Dengan Jalur Gemilang
Menerusi laporan media tempatan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah memaklumkan, sebanyak 60 bas tambahan percuma akan disediakan dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Putrajaya Square. Ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai yang ingin menyertai perarakan Hari Kebangsaan.
Selain itu, semua perkhidmatan kereta api termasuk LRT, MRT, dan monorel, serta transit bas (BRT) di laluan Sunway akan mengikuti jadual operasi 24 jam. Beberapa laluan bas terpilih juga akan turut disediakan.
Selain itu, Rapid KL juga mengumumkan bahawa lebih daripada 4,000 kakitangan akan bertugas untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar. Mohd Azharuddin turut melahirkan rasa bangga mereka dengan pencapaian ini dan menekankan komitmen mereka untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti.
“Dengan bantuan Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia, kami pastikan laluan bas khas tidak akan terganggu. Anggota Polis Bantuan Infrastruktur juga akan membantu memastikan trafik lancar,” ujarnya lagi.
Bagi mereka yang merancang untuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan, disarankan agar menggunakan pengangkutan awam. Kebanyakan stesen kereta api menyediakan tempat letak kereta yang besar, ada yang boleh menampung sehingga 10,000 kereta.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Rapid KL & Prasarana
Lee Hsien Loong Umum Perletakan Jawatan Sebagai Perdana Menteri Singapura

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam, semalam.
Beliau menyatakan bahawa beliau dan kerajaan pimpinannya akan berundur secara rasmi esok.
Lapor akhbar China Daily, Hsien Loong menasihati Presiden Singapura supaya memilih Lawrence Wong untuk membentuk kerajaan seterusnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tarikh Ambil Slip Keputusan SPM Kekal Pada 27 Mei. “Cikgu-Cikgu, Selamat Bercuti!” – Fadhlina Sidek
Tharman menerima perletakan jawatan tersebut dan memaklumkan bahawa Wong akan dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura dan memintanya untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.
“Manakala Gan Kim Yong dan Heng Swee Keat akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan baharu ini,” kata Wong dalam satu sidang akhbar.
Sementara itu, Kim Young akan kekal sebagai Menteri Perdagangan dan Industri. Beliau juga menggantikan Wong untuk jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Monetari Singapura.
“Hsien Loong dan Teo Chee Hean pula akan menjadi menteri senior dalam kabinet baharu tersebut,” tambah Wong yang akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan Singapura.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: China Daily
Usia Bukan Penghalang, Rohani Abdullah Berjaya Raih Gelaran Doktor Falsafah (PhD) Pada Usia 81 Tahun

Walaupun kini sudah menginjak usia 81 tahun, ia bukanlah penghalang bagi Christine Longuet atau Rohani Abdullah apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Etnobotani atau Ekologi Manusia pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Rohani yang merupakan anak kelahiran Paris, Perancis itu berkata, beliau telah menghabiskan masa selama 10 tahun untuk menyiapkan penulisan tesis bertajuk ‘Tempat, Tumbuhan dan Masyarakat di Terengganu: Penilaian Berdasarkan Dua Era’ bermula tahun 2013.
“Kajian ini melibatkan dua era dan secara tidak langsung memerlukan perbandingan yang sistematik serta masa yang panjang. Ada masa saya hampir berputus asa, tetapi saya bersyukur kerana adanya sokongan padu daripada arwah suami Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah dan anak, penyelia muda yang berpengalaman, dan juga bantuan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sendiri”
Menurutnya lagi, beliau juga menghadapi pelbagai cabaran dalam menyiapkan tesis berkenaan termasuk faktor kesihatan, masalah keluarga, persekitaran dan COVID-19.
ARTIKEL BERKAITAN: Ikut Graduasi Bersama Anak, Lanjut Usia Bukan Penghalang Pesara Raih Gelaran Doktor Falsafah (PhD)


Selain itu, Rohani yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah dari Sorbonne University, Perancis itu juga berhasrat untuk menulis buku biografi mengenai dirinya untuk tatapan serta warisan keluarga dan bercadang menerbitkan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Perancis.
“Saya mahu anak cucu tahu dari mana mereka datang. Tidak hanya sejarah, saya juga ingin berkongsi ilmu yang saya ada dalam buku itu untuk manfaat masyarakat. Sebelum ini, saya telah menulis beberapa buku seperti Amabah An Architect’s Journey (2013) dan The Visible Trail of Chang Fee Ming (2000),” katanya yang turut mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2006.
Dalam pada itu, Rohani berkongsi kisahnya datang ke Terengganu pada 1971 untuk menempah kapal layar dan mengembara ke lautan Pasifik.
ARTIKEL BERKAITAN: Usia Bukan Penghalang, Graduan UiTM Ini Berjaya Genggam Ijazah Undang-Undang Pada Usia 77 Tahun. Tahniah!

Bagaimanapun, wanita kepada lapan anak, 27 cucu dan 14 cicit itu akhirnya memutuskan untuk menetap di bumi Darul Iman pada tahun 1975 setelah jatuh hati dengan industri kapal layar, budaya tempatan serta seni bina Melayu yang menarik.
Susulan dari itu juga, beliau membuat kajian mengenai perubatan tradisional Terengganu untuk beberapa firma dan institut di Perancis pada 1982 sehingga sempat menerbitkan artikel seperti ‘Kulit Manis: A Taste of Terengganu’s Heritage’, ‘Menelusuri Jati Diri; Chapter Perahu Pinis: Peranan Tukang Dalam Penciptaan Kapal Layar di Terengganu’ dan ‘Malaysie Contemporaine, La disparition de habita traditional dans le Terengganu’.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Penaja Baju Lee Zii Jia Mohon Maaf Isu Bendera Malaysia Terbalik, Dakwa Tidak Disengajakan

Susulan kontroversi melibatkan bendera Malaysia terbalik pada baju jersi yang disarungkan oleh pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia; penajanya Victor Malaysia tampil dengan permohonan maaf secara terbuka.
Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik pada bahagian kiri baju Zii Jia jelas kelihatan di kaca televisyen ketika perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen yang mana dimenangi oleh wakil negara itu 21-13, 21-15.
Menerusi kenyataan di platform X, pihak Victor Malaysia mengakui kesilapan cetakan tersebut yang berlaku secara tidak sengaja dan kemudian disarungkan oleh Zii Jia sewaktu perlawanan pertama kumpulan A di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 pada Rabu.
“Kesilapan ini tidak menggambarkan rasa hormat kami yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaannya; atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: Tawaran Pampasan €2000 Oleh Pedofil Asal Malaysia Ditolak, Ibu Bapa Mangsa Anggapnya Satu “Penghinaan Besar”
“Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti; dan kami amat kesal jika menyebabkan sebarang rasa tidak hormat yang tidak disengajakan kerana kesilapan ini,” ciap akaun tersebut.
Dalam pada itu, pihaknya juga menjelaskan mereka sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi.
“Sekali lagi, kami memohon maaf dengan setulus hati dan menghargai pertimbangan anda,” jelasnya lagi dalam ciapan itu.
Untuk rekod, kesemua pakaian Zii Jia tidak dibekalkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya oleh penaja, Victor Malaysia.
Insiden ini sekaligus menimbulkan kekecohan di media sosial di mana orang ramai mempersoalkan ketelitian pemeriksaan baju sukan yang diberikan kepada wakil negara seperti Zii Jia di pentas antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.