Kami pasti ramai diantara masyarakat kita khususnya yang tinggal di Lembah Klang lebih memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bagi melakukan urusan harian. Rapid KL antara yang menjadi pilihan utama kerana prasarana yang disediakan memudahkan pengguna untuk pergi ke serata tempat.
Terbaharu, Rapid Bus dilaporkan sedang melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan di beberapa laluan bas terpilih. Percubaan melibatkan empat buah bas elektrik, dan akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 13 Jun 2022.
Dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni. Percubaan penggunaan bas elektrik ini adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050.
Pengguna juga dialu-alukan untuk tidak melepaskan peluang bagi mencuba perkhidmatan bas elektrik ini dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan lagi.
Makluman ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat dan rata-ratanya menyokong inisiatif ini untuk penjagaan alam sekitar yang lebih baik.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.