Rasa Gemuruh Bertukar Tuah, Pelajar Malaysia Terima Anugerah Emas Di Rusia

Share

Tahniah dari REMAJA di atas kejayaan ini.

Semestinya kejayaan diraih oleh Muhammad Harraz yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Alam Shah Kuala Lumpur yang memenangi Anugerah Emas dan Anugerah Khas di Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 yang diadakan di Rusia pada Oktober tahun lalu bukan saja mencatat kenangan manis buatnya tetapi berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Malah bagi menghargai kemenangan diraihnya, semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin telah hadir ke Majlis Penyampaian Anugerah Asia-Pacific Conference of Young Scientist 2019 untuk meraikan kejayaan diraihnya.

Dalam satu temuramah, pelajar tingkatan empat ini mengakui dirinya akan pulang tanpa

apa-apa anugerah. Mana tidaknya, saya gugup hinggakan tergelak ketika melakukan pembentangan kerana inilah kali pertama saya lakukannya secara individu di luar sekolah, apa lagi di luar negara," kata Muhammad Harraz Nazhan Mohd Yusni, 16.

Membentangkan projek bertajuk Converting Unused Wood Into Functioning Timber, Muhammad Harraz mengalahkan pelajar lain berusia bawah 18 tahun dari 20 negara bagi kategori kitar semula.
Menceritakan kejayaan itu, Muhammad Harraz mengakui tidak dapat mengawal gemuruhnya ketika pembentangan selama 10 minit di hadapan beberapa juri profesional berbangsa asing di sana.

Malah, melihat empat lagi rakan senegara dari sekolah lain kelihatan begitu meyakinkan sewaktu pembentangan sama, dia seakan tidak percaya apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah utama bagi kategori yang disertai.

"Saya membentangkan projek bertajuk Converting Unused Wood Into Functioning Timber yang dibangunkan bersama guru Biologi saya sebelum ini dan diperkemaskan lagi sebelum bertolak (ke Rusia).
"Menerusi projek ini, saya menerangkan bagaimana kayu pokok buah seperti mangga misalnya, apabila tiba satu masa, pokok itu tidak lagi menghasilkan buah, jadi kayu pokok itu boleh dijadikan pengganti kepada kayu balak untuk pelbagai tujuan termasuklah perabot.

"Tidak sangka pula ia menambat hati juri sedangkan saya yakin juri juga boleh nampak gemuruh saya. Alhamdulillah, anugerah ini semestinya untuk guru Biologi saya serta guru lain selain ibu bapa dan rakan yang sentiasa mendoakan," katanya.

Kejayaan Muhammad Harraz diraikan dalam satu majlis khas oleh Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel di Kuala Lumpur, hari ini, dihadiri Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

YPC pada majlis itu memberikan Muhammad Harraz sijil, hadiah berupa jam tangan dan wang tunai RM500 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dibawa pulang.

Sementara itu, Zuraida berkata, kejayaan Muhammad Harraz harus diberi pengiktirafan seraya dijadikan contoh kepada anak muda lain untuk mencari peluang menempa kejayaan dalam apa saja bidang termasuklah bidang kitar semula.

"Saya cukup kagum dengan projek yang dibentangkan Muhammad Harraz dimana ia mungkin bermanfaat untuk industri berkaitan misalnya pengurusan sisa pepejal dan program kitar semula dibawah kementerian saya.

"Mungkin juga projek Muhammad Harraz boleh dipertimbangkan untuk diperkembangkan ke sekolah lain dan komuniti yang ke arah usaha memupuk masyarakat untuk melihat kitar semula sebagai sumber pendapatan, buang kertas, plastik dan sebagai boleh memberi pulangan kepada mereka," katanya. Sumber :-Harian Metro

Tahniah sekali lagi buat remaja Malaysia ini.

Published by
Almaswa Haji Che Ros