Masalah rasuah ternyata melangkaui sempadan agama, jantina dan latar belakang seseorang.
Malah, di dalam kitab suci Al-Quran sekalipun telah menegaskan isu rasuah di kalangan golongan agama tanpa mengira agama. Sama ada seseorang itu beragama Islam, Yahudi, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, mereka diberikan peringatan besar mengenai bahana isu ini agar tidak mudah terpesong.
Kata penceramah bebas dan moderator rancangan My Quran Time di saluran TV Al-Hijrah Ustaz Fazrul Ismail, agama adalah sumber kuasa yang amat tinggi melebihi politik sekalipun.
Jika penggiat politik menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri, nescaya dia akan mudah untuk mendapat perhatian ramai.
Itu adalah sesuatu yang seharusnya dicegah. Adakah seseorang itu berpolitik disebabkan agama ataupun menggunakan agama untuk kepentingan politik, kedua-dua itu adalah perkara yang berbeza.
Bercakap mengenai rasuah, Ustaz Fazrul menambah bahawa isu ini adalah di antara satu perkara yang dibantah oleh para malaikat di dalam Al-Quran. Ia menyebut bahawa manusia akan membawa kerosakan dan ia adalah dalam bentuk rasuah.
“Rasuah adalah satu kerosakan dalam diri. Seseorang itu akan justify bahawa dia boleh merasuah untuk kebaikan sejagat.
“Dia akan membantah orang lain daripada melakukannya tetapi dia pula menghalalkan cara atas nama agama untuk membantu masyarakat. Ini akan merosakkan keadaan kerana ada diskriminasi nilai diri di situ
“Malah menerusi pengalaman saya, di Mekah juga terjadinya rasuah. Banyak kes rasuah berlaku di kalangan mutawif yang membawa jemaah Umrah. Terlalu banyak isu rasuah.
”Cuba bayangkan, mereka ke sana dengan elaun RM2000 tetapi apabila pulang ke Malaysia dengan keuntungan RM8000 ke RM10000. Ini kerana mereka mengutip jumlah lebih daripada jemaah yang menaiki bas sedangkan nilai yang diberikan kepada pemandu kurang dari itu,” kongsinya dalam forum tersebut.
Ustaz Fazrul ditemui di sidang media bersama pasukan teras Rasuah Busters yang ingin membawa reformasi moral dan integriti untuk membanteras pandemik rasuah.
Beliau merupakan salah seorang daripada pasukan yang dinamakan sebagai Coalition of the Willings yang sukarela bergandingan dalam kepakaran dan kapasiti masing-masing untuk menyelamatkan negara daripada terus terhumban ke lembah kehancuran akibat amalan rasuah.
Dengan slogan ‘Mak Kata Jangan’, mereka yakin bahawa golongan ibu, ayah dan pengajar (cikgu atau pensyarah) mempunyai peranan besar untuk memelihara dan memperbaiki karakter anak mereka.