Pada bulan Mac lalu, wanita jelita berdarah kacukan Cina-India, Jasebel Robert pernah mencipta magis di pentas Miss Grand International 2020 setelah wakil Malaysia itu berjaya menembusi senarai 10 peserta terbaik.
Jasebel, 25 terpilih menyertai senarai Top 10 apabila mengenepikan populariti 63 peserta lain untuk dinobatkan sebagai pemenang kategori Miss Popular Vote. Sekaligus, Jasebel menjadi wakil Malaysia pertama di pertandingan Miss Grand International yang berada di kedudukan Top 10.
ARTIKEL BERKAITAN : Wakil Miss Grand Malaysia Catat Sejarah, Bolos Posisi TOP 10 – REMAJA
Untuk edisi Miss Grand International 2021 yang kini sedang berlangsung di Bangkok Thailand pula, wakil Malaysia ke pertandingan tersebut pun tidak kurang hebatnya. Malaysia diwakili oleh Lishalliny Kanaran dan dia sedang berdepan saingan daripada 60 peserta lain dari seluruh dunia untuk cuba melakukan yang terbaik bagi menyamai prestasi Jesebel pada edisi lepas mahupun memperbaiki kedudukan Malaysia ke senarai 5 terbaik. Siapa tahu, rezeki dan tuah berpihak kepada negara pada tahun ini?
BACA LAGI : Lishalliny Kanaran Dinobatkan Sebagai Miss Grand Malaysia 2021 – REMAJA
Menghampiri acara finale pada 4 Disember ini, Miss Grand International 2021 pada malam ini telah melangsungkan segmen kostum nasional terbaik yang disiarkan secara langsung di saluran YouTube Grand TV.
Lishalliny tampil bersedia apabila dia memperkenalkan keunikan kostum dan kisah di sebalik persembahan Ulek Mayang yang berasal dari negeri Terengganu.
Bukan mudah ya untuk Lishalliny mempersembahkannya dek saiz kostum rekaan khas pereka Sarawak, Aldrin Artistry itu yang dianggarkan seberat 50 kilogram!
Sedikit info mengenai budaya Ulek Mayang; ia merupakan sejenis tarian penyembahan yang asalnya adalah upacara rawatan tradisional seorang bomoh ke atas nelayan yang tidak sedarkan diri dan telah dipukau oleh seorang puteri laut yang jatuh cinta terhadapnya.
Demi membawa pulang roh nelayan berkenaan, puteri laut telah menyeru lima lagi saudaranya untuk melawan si bomoh hinggalah tercetusnya pertarungan di antara bomoh dan keenam-enam puteri.
Akhirnya, puteri sulung yang juga merupakan puteri ketujuh meleraikan pertarungan dan memerintahkan agar kelompok yang berasal dari darat untuk pulang ke darat sementara puteri-puteri laut untuk pulang semula ke dunia mereka.
Sebagai ucapan terima kasih di atas bantuan puteri ketujuh, nelayan tersebut dan rakan-rakan menyembahnya dengan nasi berwarna hinggalah kehadiran agama Islam di bumi Terengganu.
*
Berbalik kepada wakil Malaysia ke pertandingan Miss Grand International 2021, rekaan kostum Ulek Mayang ini diakui ramai sebagai salah satu kostum nasional terbaik yang pernah dihantarkan oleh Malaysia ke pentas pertandingan ratu cantik.
Bukan saja kostum serba biru-hitam keemasan ini menarik untuk ditatap, malah persembahan Lishalliny yang membawa bersama ‘tujuh orang puteri laut’ dengannya selama kira-kira 42 saat pada malam ini tampak cukup menyakinkan.
Lihat sajalah klip persembahannya di bawah :
Jika korang masih ingat pada Miss Grand International 2020, Malaysia juga pernah memukau penonton menerusi kostum yang diinspirasikan daripada budaya Mak Yong; sehinggakan ia tercalon dalam senarai 10 kostum terbaik oleh pihak juri.
ARTIKEL BERKAITAN : Dari Kelantan Ke Miss Grand International, Kostum Malaysia Masuki TOP 5! – REMAJA
Miss Grand International 2021 mula dilangsungkan pada 17 November lalu di kepulauan Phuket untuk mempromosikan sektor pelancongan Thailand. Ia bersempena pembukaan semula sempadan negara itu kepada pelancong asing menerusi program sandbox yang diperkenalkan oleh pihak kerajaannya.
Selain itu, penganjuran Miss Grand International 2021 juga dilihat sebagai strategi Thailand untuk kembali merancakkan sektor pelancongan yang merupakan salah satu sektor paling menguntungkan negara Gajah Putih itu.
BACA LAGI : Thailand Kembali Benar Pelancong Malaysia Masuk & Melawat 17 ‘Zon Biru’ – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.