Ratu Cantik Thailand Anggun Berbusana Kebaya, Angkat Budaya Masyarakat Selatan

Share

Semalam telah berlangsungnya pentas akhir Miss Face of Humanity di Kanada. Pertandingan yang buat julung kalinya diadakan ini telah menyaksikan seramai 17 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan masing-masing bangga mewakili negara tercinta.

Salah sebuah negara yang bertanding adalah Thailand menerusi perwakilan oleh Bew Nuttha Thongkaew. Semestinya wakil dari negara gajah putih ini tidak mengecewakan dengan raut wajah yang cantik dan tubuh yang langsing, dia menyerlahkan aura seorang ratu.

BACA JUGA: Gadis Kacukan Pertama Menang Gelaran Miss Thailand, Manita Farmer Pecah Rekod 88 Tahun Pertandingan

Apabila melalui sesi kuarantin dalam pertandingan, pelbagai aktiviti diadakan. Antara aktiviti yang paling mendebarkan semestinya sesi soal jawab bersama para juri. Sesi ini seperti yang kita sedia maklum, bakal menentukan nasib peserta yang akan mara ke peringkat seterusnya.

Apa yang menarik perhatian ketika sesi soal jawab, Bew Nuttha telah menggayakan sepasang kebaya dalam rona biru gelap dan biru cair siap dengan sulaman mewah. Eh, kenapa kebaya?

Kalau pembaca nak tahu kebaya bukan hanya menjadi busana tradisi di Indonesia, Singapura dan Malaysia sahaja, di Thailand pun ada komuniti yang menjadikan kebaya sebagai pakaian tradisi mereka. Di sana busana kebaya ini dikenali sebagai Banong.

Menurut penjelasan oleh ratu cantik berusia 28 tahun ini, “Saya menggayakan pakaian tradisi Banong dari wilayah sempadan selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat. Ini adalah sebagai perlambangan dan juga simbol keamanan kepada mereka yang melalui keganasan domestik di tiga walayah selatan itu. Saya bawa suara anda bersama saya di Humanity Pageant Global.”

BACA LAGI: Dahulu Sekadar Top 5 Miss Grand Indonesia 2020, Kini Nadia Tjoa Juara Miss Face Of Humanity 2022

Pakaian tradisi Banong merupakan pakaian yang sama rekaannya seperti kebaya Nyonya yang digayakan masyarakat campuran Melayu-Cina di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Selain mengenakan pakaian ini, Bew Nuttha turut melengkapkan gaya keseluruhannya dengan aksesori Yan Lipao iaitu rekaan beg turun temurun berasal dari daerah Nakhon Si Thammarat yang merupakan sebuah bandar di Selatan Thailand.

Wanita anggun ini menamatkan saingan di pentas finale Miss Face of Humanity di kedudukan top 10. Wakil Indonesia, Nadia Tjoa dimahkotakan sebagai pemenang sulung pertandingan ratu cantik ini.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen