Dek kerana satu sesi video menerusi platform popular, Zoom, dunia internet terus ‘menggelabah’!
Bukan hanya rakyat jelata seluruh dunia yang mengharapkan kepada panggilan video sepanjang tempoh kuarantin. Kini, Ratu Elizabeth II turut menjadi sebahagian daripada pengguna Zoom dan rakyat sukar untuk menerimanya.
Menurut laporan gosip di United Kingdom, satu panggilan video di antara baginda dan Perdana Menteri UK Boris Johnson sepatutnya berlangsung pada minggu lalu. Namun pada saat akhir, sesi tersebut bertukar kepada panggilan telefon tradisional.
Lain pula ceritanya pada minggu ini.
Menurut satu ciapan daripada akaun Twitter rasmi keluarga diraja Britain hari ini, Baginda nampaknya telah terbuka hati untuk terlibat dalam satu sesi panggilan video Zoom.
Ia adalah bersempena sambutan Carers Week 2020 di mana Baginda dan
keluarga diraja Britain bercakap dengan sekumpulan pegawai kesihatan yang menerima pembiayaan The Carers Trust.
Sesi tersebut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi oleh kumpulan tersebut.
Rakyat di United Kingdom terutamanya terkejut dengan berita ini dan melabel sesi Zoom tersebut sebagai ikonik.
Ada juga yang bertanya sekiranya protokol diraja masih diguna pakai semasa bertemu melalui skrin.
Apapun, REMAJA melihat ini sebagai salah satu cara paling berkesan untuk keluarga diraja Britain mendekati rakyat biasa di seluruh dunia. Ia menandakan bahawa mereka juga terkesan dengan situasi pandemik wabak Covid-19.
Sebelum ini, Putera Charles, Puteri Anne, Putera William dan Kate Middleton juga telah melakukan pertemuan menerusi panggilan video sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia pada bulan Mei.
Nampaknya, bukan keluarga diraja Malaysia saja yang bersifat mesra rakyat.