Kalau hendak diikutkan, soal ‘claim’ antara warganet di rantau Asia Tenggara tidak pernah senyap.
Ada je subjek identiti atau kebudayaan yang ingin direbut oleh semua negara; baik makanan, pakaian, tarian dan macam-macam lagi.
Terbaru, wakil Malaysia ke pertandingan ratu cantik Miss World 2021, Dr Lavanya Sivaji telah menjadi sasaran lebih 16,000 warganet Indonesia yang menuduhnya ‘claim’ fabrik batik sebagai fabrik yang berasal dari Malaysia semasa dia mempertontonkan gaun hijau-hitam, baru-baru ini.
Lalu, demi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh, wanita berusia 25 tahun itu pantas memohon maaf sekiranya ada masyarakat Indonesia yang terasa hati dan menyalah anggap apa yang diperkatakannya sebelum ini.
Kata Dr Lavanya menerusi satu muat naik di Instagram, dia menjelaskan bahawa Malaysia juga mempunyai versi batiknya sendiri.
“Saya tahu perkataan Batik itu berasal dari Jawa termasuklah rekaannya dan sejarah di sebaliknya. Namun ada juga beberapa negara lain yang mempraktikkan elemen, rekaan dan motif seakan sama; seperti di Malaysia, Sri Lanka dan India. Sama ada (batik) berasal dari Malaysia, Indonesia atau negara lain, saya akan sentiasa merasa bangga menyarungkan Batik.
“Saya terus merasa bersemangat sebagai pemakainya,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, Dr Lavanya baru saja memenangi gelaran Miss World Malaysia pada hari Ahad lalu. Sehari kemudian, dia berkongsi foto dalam rekaan gaun berkenaan dan menyebut Batik sebagai simbol diversiti di Malaysia. Namun sejak menerima kecaman daripada peminat ratu cantik Indonesia termasuklah yang memanggilnya sebagai ‘badut’, Dr Lavanya telah menukar sedikit kapsyen pada foto tersebut dengan berterima kasih kepada perekanya yang menyiapkan gaun untuknya.
Demi mengelakkan mana-mana komen yang tidak beradab singgah ke akaun Instagram-nya, Lavanya juga bertindak memadamkan fungsi komen pada setiap foto yang dimuat naik sebelum ini.
Harapnya, Dr Lavanya kuatlah berdepan dengan kecaman sedemikian. Biasalah, apa je yang tak di-claim oleh jiran seberang. Eh!
Dr Lavanya akan mewakili negara ke pertandingan Miss World 2021 yang dijadualkan berlangsung di San Juan, Puerto Rico pada bulan Disember ini.