



KREDIT FOTO/ARTIKEL: BERNAMA
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bertudung Labuh Bukan Penghalang Jadi Pereka Fesyen, Baiti Mohamed Terima Anugerah Gold UiTM Degree Show

Acara tahunan Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 melabukan tirai baru-baru ini dengan menobatkan pelajar seni reka fesyen, Nur Baiti Mohamed sebagai pemenang anugerah Gold.
Baiti telah mengenepikan 51 orang pelajar lain yang turut menampilkan koleksi tiga rekaan lengkap masing-masing pada acara yang berlangsung di Shah Alam, tempoh hari. Anugerah Silver menjadi milik Muhammad Fikri Mahadi manakala Nur Nelisya Hazelya pula menyambar anugerah Bronze.

Koleksi Baiti telah diilhamkan daripada seni arca seramik ‘Comb Form’ rekaan artis Fenella Elms dan menampilkan kombinasi rona natural, pelbagai garisan serta pergerakan dengan menggunakan material seperti fabrik kanvas serta organza.
Kemenangan Baiti telah ditentukan oleh barisan juri terdiri daripada pengulas fesyen Zaihani; pereka fesyen/pensyarah Jasmi Rejab; pereka fesyen Rico Rinaldi dan pensyarah akademik, Muhammad Khalik.
Menariknya, bukan hanya koleksi Baiti yang mencuri perhatian warganet sejurus kemenangannya diumumkan. Malah, ramai juga tertarik dengan penampilan empunya badan sendiri yang berprinsipkan fesyen sederhana Muslimah sekaligus merobek stereotaip dunia fesyen yang acapkali sinonim dengan gaya pemakaian di luar kotak.
REMAJA menemubual Baiti bagi mendalami minat, usaha keras dan soal pemakaian baginya sebagai seorang pereka fesyen muda serta lebih utama, sebagai seorang remaja Muslimah.
REMAJA (REM): Bagaimana Baiti boleh tertarik untuk mengambil jurusan seni reka fesyen?
BAITI (B): Sebenarnya, saya minat menjahit baju-baju anak patung sejak umur 7 tahun. Mak ayah saya pun nampak minat dan kemahiran saya sehinggalah saya ambil subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di sekolah menengah.
Sesudah mengambil subjek sama untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pun putuskan untuk ambil jurusun Rekaan Fesyen kerana bagi saya, bakat yang ada seperti melukis dan menjahit itu saya hendak bentukkan lagi.
REM: Bagaimana penerimaan keluarga apabila Baiti luahkan impian untuk mengambil jurusan ini?
B: Keluarga saya positif sahaja. Mak ayah saya pun tidak menghalang apa yang minati sekarang kerana mereka faham minat serta kemahiran yang saya ada sejak awal usia. Menginjak usia remaja, impian mereka hanyalah agar saya boleh menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.

REM: Siapakah inspirasi & idola Baiti dalam bidang fesyen dan mengapa?
B: Saya tiada mana-mana individu tertentu sebagai idola dalam bidang ini. Cuma saya tertarik mengikuti kisah & gaya artis-artis yang telahpun berhijrah seperti Neelofa dan Lisa Surihani. Mereka bagi saya merupakan contoh yang baik untuk anak-anak muda.
REM: Kongsikan persediaan bagi menyiapkan koleksi Degree Show kali ini di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid.
B: Persediaan untuk menyiapkan koleksi Degree Fashion Show ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental. Tempoh persediaan terasa pendek (kerana) banyak cuti. Pensyarah juga menasihati agar kami memulakan rekaan pada cuti semester lagi demi menyiapkan empat pasang baju.
Ada pelajar yang sanggup tidak pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat siap. Mentaliti kami hanya fikirkan kerja. Tidur itu pun memang tidak cukuplah tetapi kami enggan merungut kerana tahu, inilah pengorbanan untuk menempa kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarah kami sendiri serta alumni terdahulu. Saya jadikan itu sebagai motivasi diri.
Dari segi konsep di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid, beliau sememangnya seorang yang banyak membantu malah mengambil berat terhadap setiap pelajar. Beliau akan selalu ingatkan sekuen model, idea yang banyak.. saya pun saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada beliau.
REM: Bagaimana Baiti haluan sebagai seorang pereka fesyen selepas menamatkan pengajian?
B: Dahulu, saya pun tidak pasti sekiranya saya benar-benar bersedia untuk menceburi bidang perniagaan fesyen. Ya, ia satu bentuk perniagaan dan itu bukan kemahiran saya. Begitulah saya, kadangkala overthinking kerana kita tidak mampu menilik masa depan.
Cuma saya tetap dengan niat saya untuk kekal dalam industri fesyen dan tidak ‘lari’ selepas menamatkan pengajian. Saya juga tetapkan niat untuk kekal dengan cara pemakaian saya sebegini. Jujurnya, sehingga sekarang tiada pula saya berdepan dengan komen-komen seperti minat tidak selari dengan cara pemakaian muslimah saya.
Saya ambil jurusan fesyen pun bermotif dan tidak melulu. Saya ingin membina nama dalam dunia modest fashion (fesyen sederhana) yang relevan dengan masyarakat di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Saya tiada masalah untuk menggayakan kelompok non-Muslim tetapi masih berpaksikan modest fashion.
REM: Rata-rata ramai tidak menyangka Baiti merupakan seorang fashion student, mungkin disebabkan imej Baiti yang dijaga penuh sopan. Adakah itu persepsi yang biasa diterima oleh Baiti?
B: Ramai sebenarnya tidak percaya. (Ketawa) Orang tanya ambil course apa, saya jawab fesyen lah. Orang tengok saya atas bawah dan berkata, “Lah fesyen? Ingat ambil Quran Sunah..”. Komen-komen itu sudah biasa saya terima. Saya pun dah malas nak jawab. (Ketawa) Jika ada yang bertanyakan soalan sama, saya jawab sahaja course Seni Reka.
Saya tidak malu pun untuk mengaku saya seorang pelajar jurusan Seni Reka Fesyen. Bagi saya, jangan kita hakimi seseorang dari segi pakaian. Kita sendiri lebih tahu diri sendiri dan minat sendiri. Pakaian itu melambangkan karakter peribadi sahaja, yang penting idea kena fresh. Bak kata Encik Faizal, “Idea tu jangan kampung sangat.” Cara pemakaian saya mungkin sebegini tetapi idea saya tetap berfikiran jauh selari dengan trend antarabangsa semasa.
Secara peribadi, tidak perlulah menggelar saya sebagai ‘pereka fesyen Muslimah’. Cukup sekadar digelar seorang pereka fesyen. Noktah.
ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Filomuzika: Kaleidoscope 2024 Platform Danial Chuer Raikan Bakat Pelajar ‘Music Composition’ UiTM – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Penantian 7 Tahun Di Kejohanan Dunia Terbalas! Dhabitah Sabri Buru Podium Kedua

Kecemerlangan demi kecemerlangan dituai oleh penerjun kebangsaan, Nur Dhabitah Sabri di Arena Danbe, Budapest Hungary.
Dhabitah yang merupakan sebahagian daripada skuad terjun negara yang kini berada di Kejohanan Dunia Budapest 2022 terlebih dahulu meraih podium pertama kejohanan dunia dalam kariernya apabila memenangi pingat gangsa bersama gandingan, Datuk Pandelela Rinong Pamg dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita, baru-baru ini.

Umpama mimpi indah yang akhirnya bertukar realiti, Dhabitah menganggapnya sebagai satu kenangan manis yang sukar dilupakan. Mereka mengutip 298.68 mata, hanya 0.72 mata di belakang gandingan Amerika Syarikat. Manakala pingat emas menjadi milik China yang juga merupakan gandingan juara Sukan Olimpik Tokyo dalam acara sama, tahun lalu.
“Ini adalah pingat pertama saya dalam kejohanan dunia dan saya sangat bersyukur mempunyai rakan gandingan yang baik (untuk) mengharungi saingan dalam acara ini,” kongsinya.


Tambahnya lagi, dia tidak dapat melakukannya tanpa bimbingan jurulatih selain pasukan sokongan di lokasi pertandingan dan di tahah air.
*
Baru sebentar tadi, Dhabitah bersama gandingan berbeza iaitu Wendy Ng Yan Yee telah melayakkan diri ke peringkat akhir acara 3 meter papan anjal seirama wanita pula.
Kejayaan ini ibarat misi ‘balas dendam’ pasangan tersebut setelah mereka gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk acara yang sama.
Dengan memungut 272.97 mata, Dhabitah dan Wendy menempatkan diri dalam senarai 12 terbaik. Begitupun, mereka tidak boleh duduk selesa memandangkan dua terjunan pertama yang dilakukan tidak mencatatkan kutipan markah yang tinggi.
“Sudak lama kami tidak bergandingan. Jadi dalam pusingan kelayakan, saya berpendapat persembahan kami tidaklah seteruk mana. Saya berharap kami boleh teruskan momentum pada peringkat akhir,” ulasnya yang bersiap-sedia memburu kedudukan podium keduanya di Budapest pada kali ini.
ALL THE BEST buat Dhabitah dan Wendy Ng!
Terdahulu, Pandelela membuktikan dirinya masih bertenaga untuk mengharumkan nama Malaysia setelah memperolehi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu.
ARTIKEL BERKAITAN : Dhabitah Sabri Kini Bergelar Mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Banggakan Sabah Sebagai Negeri Kelahiran Penyanyi Berbakat Malaysia, Adam Shamil Punya Impian Besar – Isu Digital Ogos 2023

Isi Kandungan
ToggleKetika penulis berkesempatan menemu bual figura muda yang seorang ini, ada keistimewaan yang dimiliki oleh anak jati negeri di bawah bayu, Sabah ini.
Adam Shamil, pendatang baharu yang bukan sekadar ‘menjual’ wajah di dunia media sosial, walakin jelas menggenggam bakat yang dikurniakan Ilahi buatnya.
Menginjak ke usia 28 tahun, ada matlamat yang ingin dilunaskannya dalam industri seni hiburan tanah air. Bertatih perlahan-lahan, lama kelamaan pasti jernih jua hasilnya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Adam Shamil.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan AYANG KAMELL dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Nama Adam Shamil relatifnya sudah dikenali di negeri kelahirannya. Kini, tiba masanya untuk pengikut di Semenanjung Malaysia pula meminatinya. Berbekalkan kandungan-kandungan segar di media sosial sebagai seorang pempengaruh, nama Adam semakin masyhur.
Bagi Adam, terma ‘remaja’ bukan sekadar merujuk kepada usia semata. Sebaliknya, ‘remaja’ mewakili idea segar, satu perlambangan karakter dan personaliti menarik.
“Sudah semestinya, remaja membawa maksud luas. Dahulu bila sebut tentang ‘remaja’, usia seseorang dijadikan rujukan. ‘Sekiranya melebihi usia 26 tahun, masih remaja kah?’. Bagi saya pula, remaja kini merujuk kepada golongan muda yang berfikiran matang dan mampu mencetuskan idea baharu.
“Saya ambil contoh penyanyi tanah air, Aina Abdul. Walaupun usianya hampir mencecah 30 tahun, Aina dilihat mempunyai lebih ramai peminat dalam kalangan remaja. Bagi saya, asalkan seseorang itu mengetengahkan idea yang segar selain membawa imej untuk menarik perhatian remaja, ‘yes, you are remaja juga’. Remaja bukan sekadar umur, tetapi ia melambangkan karakter, imej dan personaliti,” katanya.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Bangga membawakan identiti sebagai seorang anak jati Sabah di Semenanjung Malaysia, Adam menyifatkan rasa puas cukup terasa setiap kali membawa nama baik negeri kelahiran menerusi projek seninya.
“Sebagai seorang rakyat Sabah yang berusia 28 tahun, saya sangat berbangga dapat mengangkat nama negeri sendiri; bukan sahaja sebagai seorang penyanyi ‘baru nak up‘ tetapi juga sebagai seorang pengacara serta pempengaruh yang boleh membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada penonton yang menonton video saya,” ujarnya lagi.
Uniknya Sabah Terletak Pada Dialeknya
Sedia maklum, jika kita mengunjungi negeri Sabah, antara tarikan utamanya selain panorama indah dan barangan yang ditawarkan di sana adalah kepelbagaian lebih seratus etnik serta bahkan dialek yang membuatkan Sabah unik.
Adam sendiri memiliki darah kacukan tnik Sino-Kadazan mengalir di dalam dirinya. Kendatipun negeri Sabah berbilang etnik, warna kulit dan tempat tinggal, Adam menyifatkan masyarakat di sana hidup secara tenang dan harmoni.
“Di Sabah, dialek kami memang amat unik. Apabila bertutur dalam bahasa Melayu, kedengarannya berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Orang di Sabah memang bercakap laju (ketawa) tetapi kami masih memahami antara satu sama lain apabila berkomunikasi.
“Jika di Semenanjung, majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India namun di Sabah, kami mempunyai lebih seratus etnik. Memang banyak! Itulah keunikan hidup secara harmoni di sini,” tuturnya.
Pengacaraan Jiwa Adam Shamil
Bagi anda yang merasakan suara perbualan Adam seakan biasa didengari, anda sama sekali tidak salah. Baru-baru ini, Adam ‘dilamar’ sebagai hos di majlis resepsi perkahwinannya di Kuala Lumpur.
Bagaikan satu mimpi, dia turut menyifatkan peluang itu sebagai satu pencapaian yang besar, membanggakan dan adalah sebuah batu loncatan buat dirinya dalam mengendali majlis-majlis berskala besar.
“Sebenarnya, saya memangnya tidak jangka akan mendapat peluang ini apabila Dr. Amalina sendiri yang approach menerusi Instagram. Saya amat terkejut tetapi peluang untuk mengacarakan majlis resepsi beliau dan pasangan tercinta jujurnya adalah di luar imaginasi saya.
“Ada juga saya bertanya, mengapa beliau memilih saya? Katanya, dia menerima cadangan daripada warganet siapakah pengacara majlis resepsi bersesuaian di Kuala Lumpur. Bagi saya, ia merupakan rezeki yang sama sekali tidak saya jangkakan.
“Istimewanya pada majlis Dr. Amalina, ia dihadiri oleh Pak Nil (Datuk Aznil Hj Nawawi) dan beliau sempat memberi pujian terhadap potensi saya. Ia sememangnya hari yang saya tidak akan lupakan,” katanya yang juga menjadikan Che Puan Sarimah Ibrahim bagi bahasa Inggeris dan Datuk Aznil Hj. Nawawi bagi bahasa Melayu sebagai idola dalam bidang pengacaraan.
“Saya mula menjinakkan diri dalam aliran pengacaraan sejak peringkat sekolah. Saya percaya, pengalaman mengajar kita dan idola yang saya sebutkan itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi untuk menambah baik skil sendiri,” katanya.
“Mansau.. kalau orang Sabah tidak tahu, tidak sah!”
Bukan sahaja memiliki bakat pengacaraan, personaliti media sosial ini juga boleh menyanyi dengan baik ya!
Adam Shamil pernah meluncurkan beberapa buah lagu yang menerima respon positif daripada pendengar termasuklah Mansau yang tular di media sosial apabila ramai menggunakan lagu tersebut sebagai runut lagu bunyi video mereka; terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial di Sabah. Ini setelah ia mencecah lebih sembilan juta tontonan di YouTube.
Terbaharu, Adam Shamil tampil dengan lagu berjudul Bantu.
Berkisarkan tentang penghargaan terhadap seseorang terutama yang bergelar ibu mahupun nenda tercinta, Adam menitipkan perasaan syukur dan terharu apabila dipilih merakamkan lagu Bantu memandangkan ia merupakan lagu pertamanya yang dihasilkan menerusi syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk diarus perdanakan.
“Pastinya saya berbangga apabila peluang menyanyikan lagu ciptaan Omar K hadir. Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan hebat ketika menjayakan lagu ini.
“Omar K, pastinya saya rasa bangga berpeluang itu tidak datang selalu. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan yang hebat dalam menjayakan lagu ini.”
Usia muda hakikatnya hanyalah nombor. Adam Shamil telah membuktikannya apabila berjaya ‘melayarkan bahtera’ dalam bidang seni yang diminati.
“Saya mula menjinakkan diri dalam bidang hiburan menerusi media sosial seawal tahun 2016. Saya juga bermula sebagai seorang YouTuber bagi memperkenal Sabah dan Sarawak menerusi kandungan menarik dan bakat nyanyian.
“Jadi, jika ada yang bertanya bagaimana saya melakukan semua itu pada waktu yang saya, saya merasakan tiada rahsia tertentu melainkan pembahagian masa yang bijak. Ada masanya saya benar-benar memberikan tumpuan terhadap sesuatu perkara dan ada masanya saya perlu mengenepikannya sebentar. Cuma, kata kuncinya adalah konsistensi,” simpul Adam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.