Reaksi ‘Excited’ Menang Hingga Meloncat Miss Teen USA Tarik Perhatian

Share

 

Siapakah gadis dari Hawaii ini?

 

Saban tahun, acara Miss Teen USA sering menjadi perhatian bukan setakat remaja di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia.

Walaupun dilabel sebagai pertandingan ratu cantik untuk gadis ‘belum cukup umur’ sebelum mereka boleh bertanding untuk Miss USA kelak, pertandingan ini ternyata lebih daripada sekadar rupa paras cantik semata-mata.

Miss Teen USA kini amat mementingkan latar belakang pendidikan setiap peserta. Rata-rata peserta sedang bergelar pelajar di kolej dan universiti masing-masing.

Malah, Miss Teen USA telahpun menukar format segmen pakaian mandi kepada pakaian active wear di mana peserta akan menyarungkan seluar. Ia sekaligus memberi gambaran bahawa penganjur sedang mencari seorang ‘role model’ yang terbaik untuk remaja dari segi intelek.

Terbaru, peserta berusia 18 tahun dari Hawaii, Ki’ilani Arruda telah mengenepikan saingan sengit daripada peserta District of Columbia serta 48 orang peserta lain untuk dinobatkan sebagai juara Miss Teen USA 2020.

Dianjurkan dalam persekitaran yang mematuhi standard piawaian SOP disebabkan oleh pandemik Covid-19, Ki’ilani bukan saja mencuri perhatian media dan seluruh dunia dengan kemenangannya.

Malah dia juga pantas menjadi popular kerana reaksi teruja setelah dinobatkan sebagai pemenang oleh pengacara majlis.

Ki’ilani tidak dapat mengawal rasa terujanya semasa menerima selempang dan tiara dari Miss Universe 2020, Zozibini Tunzi dan Miss Teen USA 2019, Kaliegh Garris. Pada satu ketika, dia juga terlompat sambil reaksi wajahnya menunjukkan rasa tidak percaya dengan kemenangan tersebut.

“Saya cuma bersyukur dapat mewakili Hawaii di peringkat kebangsaan. Ini adalah satu impian yang akhirnya tercapai.

“Paling saya teharu adalah apabila adik lelaki saya yang didiagnos dengan autism mengatakan ‘I love you’ selepas kemenangan saya. Ia sangatlah istimewa dan membuatkan saya menangis,” katanya.

Untuk pengetahuan, Ki’ilani mengambil inspirasi daripada kisah keluarganya yang berdepan dengan ahli keluarga autism untuk memperjuangkan kempen kesedaran autism agar lebih ramai orang yang memahaminya.

Pelajar jurusan Biologi Sel dan Molekular ini sedang bersiap sedia untuk menyambung dalam jurusan perubatan di Universiti of Puget Sound. Walaupun kini terpaksa belajar di atas talian, namun Ki’ilani tetap aktif bukan hanya dari segi pendidikan tetapi juga sebagai seorang atlet.

*

Teringat pula penulis kepada kejayaan Shaza Bae yang dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2019.

 

Published by
FZ