Berita

Remaja 14 Tahun Pecah Rekod Para SUKMA 2024, Asyiil Raziin Razman Raih Pingat Emas!

Share

Inisiatif keluarga atlet, Asyiil Raziin Razman membuahkan hasil dengan menghantarnya ke kelas renang seawal usia  sembilan tahun di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan pada Isnin, beliau berjaya memecahkan rekod temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 pada usia 14 tahun.

Walaupun ini merupakan penampilan pertamanya di Bumi Kenyalang,  remaja yang mewakili Kuala Lumpur dalam 100 meter gaya bebas S14 (kecacatan intelektual) wanita itu berkata, beliau tidak berasa gugup kerana acara kolam renang sudah ‘sebati’ dengan dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Juarai Beregu Terbuka China! Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani Lakar Sejarah!

“Alhamdulillah rezeki, gembira sebab ini SUKMA pertama saya. Dalam keluarga saya seorang sahaja yang berenang sebab dulu ayah hantar ke kelas renang dan cikgu yang pilih saya untuk mewakili Kuala Lumpur”

Kredit: Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu terdahulu merekodkan 1 minit 23.35 saat (s) untuk memadamkan catatan 1:26.29s yang dibuat perenang Kedah, Puteri Nur Diyana Megat pada 2022, sekali gus menyaksikan beliau menuai pingat emas pertamanya dalam temasya dwitahunan itu.

Wakil Negeri Sembilan, Aleeya Fariesya Faizul Rizal memperoleh pingat perak selepas merekodkan 1:23.41s manakala Selangor menuai pingat gangsa dengan catatan 1:23.46s bagi acara sama menerusi Ainun Hanifah Yulizaruna Affendi.

Sementara itu, perenang negara, Abd Halim Mohammad memaklumkan ketenangan menjadi ‘kunci’ untuk beliau memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400 m gaya bebas lelaki S8-S9 (kecacatan fizikal) selepas wakil Sabah itu merekodkan 5:21.99s sekali gus meleburkan catatan 5:50.54s dibuat Rusdianto Rusmadi tahun lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Arman Bersyukur Berkat Bantu Ibu Jual Kuih Mampu Raih Emas Di Para SUKMA 2024! Tiada Pengalaman Bukan Penghalang!

“Saya tidak pernah bertanding dalam acara ini jadi memang ikut cakap jurulatih tapi sebenarnya ketenangan memang membantu. Saya suka suasana senyap sebab bising buat saya hilang fokus,” katanya.

Sementara itu, Rusdianto memperoleh perak (5:24.27s) manakala Firdaus Fariduddin merangkul gangsa dengan catatan 5:54.24s.

Sebelumnya, BERNAMA melaporkan Abd Halim bertekad untuk dinobatkan sebagai atlet terbaik dan beliau ketika ini sudah mengumpul dua pingat emas menerusi acara 100m gaya kuak dada lelaki S8 dan 400 m gaya bebas lelaki S8-S9. 

ARTIKEL BERKAITAN: 2 Gol Buat Harimau Selatan, Arif Aiman Puas Dapat Beraksi Di AFC Champions League Elite (ACLE)! Mahu Beraksi Di Peringkat Lebih Tinggi!

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE