Hari ini merupakan sesi pertama persekolahan pada tahun 2020 bagi beberapa buah negeri di Malaysia. Kalau kita lihat di media sosial, ramai ibu-ibu yang berkongsi foto anak mereka di hari pertama persekolahan.
Bermacam ragam boleh dilihat, terutamanya adik-adik yang baru pertama kali ke sekolah. Mesti tengah bersemangat kan?
Bagi korang yang berada di peringkat Sekolah Menengah pula, teruskan semangat untuk menimba ilmu dan jangan sesekali pernah berputus asa.
Sempena tahun baru ini, Remaja nak kongsikan kisah inspirasi seorang pelajar yang berusia 15 tahun, namun mempunyai pemikiran seperti orang dewasa yang dah berusia 24 tahun.
Muhammad Amir Rafiq Mohd Rafee merupakan anak kelahiran Terengganu yang sedang menjalankan kajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di sebuah universiti di Jerman. Dia beruntung kerana dipilih oleh Universiti Leibniz di Hannover, Jerman untuk menjalankan kajian dalam bidang Sains Komputer Teoritikal.
Walaupun tidak mempunyai sebarang ijazah, anak muda itu bersyukur kerana universiti tersebut menerima penyelidik bawah umur sepertinya kerana apa yang penting bagi mereka adalah kajian yang dia jalankan itu.
Mula minat bidang sains komputer sejak berusia 12 tahun lagi, Amir merasakan bidang ini sangat mencabar tetapi seronok. Disebabkan itu dia mahu mengkaji lebih dalam bidang ini.
Muhammad Amir Rafiq juga merupakan pelajar yang terpilih mewakili Malaysia dan menjadi peserta termuda dalam ‘The 2019 International Philosophy Olympiad’ di Rom, Itali tahun lalu.
Remaja ini juga bercadang untuk mengambil peperiksaan peringkat A-Level dan akan memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda di mana-mana universiti di Amerika Syarikat tahun ini.
Antara kenangan semasa kecilnya, sewaktu berusia 4 tahun, dia suka membaca ensiklopedia perubatan milik datuknya. Dia juga mempunyai kelebihan untk ‘scan‘ dan ingat setiap fakta yang dibaca.
Walau bagaimanapun, menurut ibunya mengakui bahawa Amir mempunyai kelemahan terutama melibatkan soft skills seperti kemahiran berkomunikasi dan pergaulan sesama rakan sebaya disebabkan dia mempunyai pemikiran lapan atau sembilan tahun lebih dewasa.
Kami doakan selamat maju jaya buat Amir dan semoga dia terus sukses dalam pembelajaran. Diharap kejayaan Amir ini dapat memberi inspirasi dan semangat buat korang untuk terus mencapai kejayaan dalam pembelajaran.
Sumber: Harian Metro