Remaja 15 Tahun Maut Terjun Dari Tingkat 11 Gara-Gara Ibu Tidak Pulang Sambut Upacara Akil Baligh

Share

Akibat merajuk dengan ibu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui mati dan dipercayai terjun dari tingkat 11 semalam.

Insiden yang berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang ini khabarnya disebabkan gadis tersebut terlalu sedih kerana ibunya tidak pulang dari Singapura bagi meraikan upacara akil baligh sempena memasuku usia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.57 petang semalam dan menjelaskan bahawa mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik yang tinggal bersama ibu saudaranya.

Ibu mangsa dilaporkan bekerja di Singapura, manakala bapanya bekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang.

Temubual yang dilakukan dengan keluarga mangsa mendapati dia seorang yang sangat sensitif, tetapi tidak mempunyai sebarang masalah lain. Dia terlalu sedih apabila upacara akil baligh yang sepatutnya diadakan terpaksa dibatalkan kerana ibunya yang berada di Singapura tidak dapat pulang ke majlis berkenaan.

Semasa kejadian berlaku, adik perempuan remaja tersebut ternampak kakaknya bertindak terjun dari tingkat 11 dan terus memaklumkan kepada ibu saudaranya.

Ramai yang meninggalkan komen bahawa mereka baru sahaja mengetahui tentang upacara sambutan akil baligh. Menurut warganet yang lain, ia merupakan tradisi bagi masyarakat India yang mereka mempunyai anak gadis.

Haih, harapnya perkara-perkara seperti ini tidak berlaku lagi. Sekiranya korang mempunyai sebarang masalah ketidakstabilan emosi, korang boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehar, 7 hari seminggu, kepada individu yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Hubungi mereka di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kan kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.

Jika tidak mahu guna cara ini, carilah individu yang paling dekat dan dipercayai untuk meluahkan segala perasaan sedih, marah atau kekesalan korang kepada mereka.

Sumber: Astro Awani

Published by
Noor Ain Norman