Remaja 18 Tahun Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan Kongsi Pengalaman

Share

“Masya Allah, saya rasa diri ini terlalu kerdil. Tiada kata mampu saya luahkan melainkan rasa bersyukur”.

Inilah ungkapan Nur Natasha Azeze binti Shariman Azeze, 18 tahun saat berkongsi perasaan apabila namanya diumumkan sebagai Johan Qariah pertandingan Majlis Menghafaz dan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Ismaliah, Paroi Seremban semalam.

Dalam usia cukup muda, percubaan kali pertama dari kategori remaja mencuba ke dewasa, ternyata rezeki kemenangan telah tertulis buatnya semalam sekaligus membawa pulang piala pusingan, sijil dan wang tunai yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara itu, Johan Qari dimenangi oleh Ahmad Basyir Abu Bakar, 37.

Natasha memperdengarkan bacaan semalam dan dinobatkan sebagai johan qariah

 

Menerima hadiah kemenangan dari Yang DiPertuan Besar Negeri, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

Dalam pada itu, Natasha berkata, hari ini dia sepatutnya bertolak ke Putrajaya bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung mulai 1- 6 April  2018 namun menangguhkannya seketika bagi membolehkannya menerima anugerah kecemerlangan sekolah yang diadakan esok.

Baru memperoleh keputusan SPM 2017 dengan memperoleh keputusan 7A, pelajar aliran sastera dari SMK Seri Pagi, Senawang ini berkongsi sedikit tips untuk terus dekat dengan al-Quran yang diturunkan semenjak 1400 tahun dahulu.

“Saya teringat pesan Ustaz, kita hendaklah sentiasa dekatkan diri dengan al-Quran. Insya Allah, jika kita sentiasa yakin, rezeki itu tidak akan putus. Jiwa kita akan sentiasa tenang. Tak ada masalah tak boleh diselesaikan jika dekatkan diri dengan al-Quran. Alhamdulillah, inilah yang saya amalkan sejak memasuki sekolah menengah.

“Malah keputusan baik dalam SPM itu juga ada rezeki berkaitan dengan mendekatkan diri dengan al-Quran,” katanya memaklumkan, tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Khamis dirinya akan mengulang dan melancarkan taranum bersama Ustazah Maimon, guru agama yang menjadi pembimbingnya selain bertanya kepada Ustaz dan Ustazah yang lain sama ada melalui panggilan telefon atau pergi berjumpa mereka sendiri.

Remaja ini mengakui kehidupannya sama seperti remaja lain dan tiada bezanya

 

Natasha ketika bersekolah di SMK Seri Pagi bersama guru pengawas peperiksaan

Mengambil masa sekurang-kuranganya dua jam bagi setiap pembelajaran, Natasha berkata, bagi pertandingan musabaqah al-Quran, empat aspek amat dititik berat iaitu tarannum,  tajwid, fasohah dan suara,” katanya yang akan memastikan selepas solat Maghrib, dirinya akan membuka dan membaca al-Quran dua atau tiga muka surat untuk pelancaran dan fasih.

Mengakui dirinya masih sama seperti remaja lain tetapi Natasha berkata, sejak umurnya 7 tahun, dia telah pergi mengaji sehingga dia khatam kali pertama pada usianya 12 tahun.

Ditanya bagaimana perasaannya untuk bertanding dengan qariah yang lebih dewasa dan mungkin punya pelbagai pengalaman sedangkan dirinya adalah kali pertama, Natasha berkata, dia akan mencuba sebaik mungkin dan selebihnya adalah rezeki Allah.

“Ini pengalaman pertama saya. Malah saya sendiri tak pernah menang apa-apa anugerah pun ketika di peringkat remaja. semua ini rezeki Allah,” katanya yang mengesyorkan agar golongan remaja tidak meninggalkan al-Quran yang mampu menyelesaikan apa juga masalah dihadapi oleh setiap insan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros