Jika kita merasa kehidupan kita susah, ingatlah masih ramai lagi yang diuji dengan kesusahan yang mungkin kita sendiri belum tentu boleh menghadapinya.
Rasa sebak bila menonton video temu bual yang dikongsi oleh laman Facebook FS Channel tentang kisah dua beradik yang menjual kuih demi membantu menyara keluarga.
Mereka masing-masing berusia 15 dan 18 tahun, menjalankan penjualan kuih di Maybank Jalan Taiping, Klang dan paling membuatkan kami sebak bila mana kedua-duanya memberitahu bahawa mereka sudah tidak lagi bersekolah.
Mempunyai 21 orang adik-beradik, remaja yang dikenali sebagai Iman dan Luqman ini turut memberitahu keadaan ayahnya yang kini terlantar di rumah disebabkan penyakit kanser otak apabila ditanya oleh si perakam video.
Sayu hati kami melihat wajah anak muda ini bila ditanya soal ayahnya.
Sejurus selepas Iman ditemu bual, datang pula adiknya, Iman yang baru selesai menunaikan solat di masjid berdekatan. Katanya, mereka harus bergilir-gilir solat untuk menjaga jualan kuih di dalam premis bank tersebut.
Alhamdulillah sesusah mana pun kehidupan, mereka tidak pernah mengabaikan dan masih menjaga solat.
Semoga urusan adik-beradik ini dan keluarganya dipermudahkan dan teruskan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa kerana insyaAllah hidup akan lebih diberkati.
Kalau ada yang lalu di kawasan adik ini berniaga, sama-samalah kita bantu mereka dengan membeli jualan kuih mereka.
Kami yakin masyarakat Malaysia ramai yang prihatin kan?
Sumber: FS Channel