Remaja 21 Tahun Anjur Parti Dadah, Peserta Paling Muda Umur 15 Tahun!

Share

Kes sekumpulan remaja yang membakar sekolah Tahfiz baru-baru ini membuka mata masyarakat kepada bahaya pengaruh dadah dan masalah sosial di negara ini. Sedang isu ini hangat diperkatakan, polis Butterworth pula telah menyerbu sebuah parti dadah private dan menahan 26 individu yang hampir kesemuanya remaja berusia 15-19 tahun.

High Ketika Parti Diserbu

Ketika serbuan jam 11 pagi itu dilakukan, semua pengunjung parti kelihatan masih dalam keadaan khayal. Kesemua yang ditahan turut positif ujian ketamine, dan sesetengahnya turut positif methamphetamine. Mereka dikatakan telah membeli ‘pek parti’ yang berisi pil Erimin 5 dan Ketamine untuk pesta satu malam di sebuah unit homestay itu.

Kebanyakan remaja yang ditahan merupakan pelajar sekolah menengah berhampiran, dua ialah pelajar kolej vokasional, manakala yang lain-lain majoritinya tidak bekerja.

Penganjur Remaja 21 Tahun, Guna Sosial Media

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Abdul Hamid berkata, polis telah merampas 0.81g pil Erimin 5, 1.5g ketamine, dan 0.39g dadah yang tidak dikenalpasti berserta penyedut minuman dan alatan lain di lokasi berkenaan.

Menurutnya lagi, penganjur parti dadah tersebut merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun yang berkolaborasi dengan seorang mekanik berusia 20 tahun. Mekanik tersebut telah bertemu dengan pengedar dadah bergelar ‘Boss’ di Juru Auto City untuk membeli dadah beberapa jam sebelum parti.

Parti rahsia itu dianjurkan dengan mudah melalui media sosial, dan kumpulan yang menggelar diri mereka Group Goyang Yuk itu dikatakan sudah beberapa kali mengadakan parti serupa.

Kesemua 26 yang ditahan direman selama 4 hari dan disiasat atas kesalahan memiliki dadah terlarang di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pesanan kami dari Team REMAJA, hargailah kehidupan dan masa depan korang.

 

Published by
Ajim