Remaja Ini Jadi Penyajak Termuda Dalam Sejarah Perlantikan Presiden US

Share

 

Setiap kali perlantikan presiden Amerika Syarikat (US) diadakan, upacara bersejarah itu akan disertai oleh beberapa orang artis yang menerima jemputan khas melakukan persembahan.

Kalau korang masih ingat, Beyonce umpamanya pernah menyanyikan lagu kebangsaan semasa perlantikan semula Presiden Barack Obama pada tahun 2013.

Hari ini, seorang lagi Presiden baharu akan dilantik bagi menggantikan Donald Trump.

Memandangkan situasi pandemik COVID-19 masih berleluasa di US, acara perlantikan Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris hanya akan dilakukan secara virtual.

ARTIKEL BERKAITAN : [Akhirnya] Twitter ‘Haramkan’ Akaun Donald Trump Selepas Beliau Lakukan Ini – REMAJA

Kali ini, peluang untuk melakukan persembahan telah diberikan kepada remaja berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Amanda Gorman sekaligus mencipta sejarah sebagai penyajak termuda pernah berpeluang melakukannya.

*

Amanda yang berasal dari Los Angeles mula bergiat aktif dalam dunia seni sajak pada usia 16 tahun dan menjadi pemenang acara penyajak remaja kebangsaan, tiga tahun kemudian.

Amanda dibesarkan oleh ibunya, Joan Wicks yang merupakan seorang guru di Westchester. Ibu Amanda juga merupakan insan yang memberi inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang penyajak setelah dia gemar melihat beliau memperkasakan pelajar menerusi seni bahasa.

Kini, Amanda yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang sosiologi di Universiti Harvard aktif dalam aliran seni sajak dan juga forum awam.

Sumber Foto: The New York Times

Pada acara perlantikan hari ini, Amanda akan mempersembahkan sajak bertajuk ‘The Hill We Climb’.

Katanya kepada Teen Vogue, “Ini adalah satu bentuk penghargaan untuk bukan saja menjadi penyajak termuda di sini tetapi juga menjadi sebahagian daripada perlantikan yang membawa simbol perubahan.”

Amanda terpilih setelah Joe Biden menonton video dia mendeklamasikan sajak di perpustakaan kongres pada tahun 2017, seperti dalam video di bawah.

Apabila pihak Joe Biden menghubunginya dan bertanya jika dia ingin terlibat; Amanda terus melakukan research dan mula menulis karya The Hill We Climb ini seawal 6 Januari lalu.

Namun setelah insiden rusuhan yang berlaku di Washington D.C awal bulan ini, dia melakukan beberapa pertukaran kerana berpendapat insiden yang merobek demokrasi Amerika Syarikat itu perlu diperkatakan di khalayak ramai.

“Dalam sajak ini, saya sertakan elemen kesediihan (grief), ketakutan (horror), harapan (hope) dan perpaduan (unity) serta keraian (joy) – kerana saya berasa kita mempunyai banyak sebab untuk meraikan perlantikan kali ini.”

Apabila ditanya sama ada dia juga mempunyai cita-cita untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat satu hari nanti, Amanda dengan yakin berkata dia berniat untuk terlibat dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2036 setelah dia layak dari segi merit usia.

Selain Amanda, acara perlantikan hari ini juga melibatkan Lady Gaga yang akan menyanyikan lagu kebangsaan  manakala Jennifer Lopez akan menjayakan segmen persembahan muzikal.

Published by
FZ