Remaja Aktif Bersukan Sehingga Mukanya Kebas, Tempurung Kepalanya Perlu Dibelah

Share

Tiada apa kekurangan kepada remaja berusia 22 tahun ini. Dia seorang yang aktif bersukan. Sering bermain futsal, bola serta sukan lasak lain. Sehinggalah suatu hari di tempat kerja, ketika dia sedang bersarapan pagi, dia terasa pipinya kebas sebelum tumbang.

Kongsi Muhammad Adli Asyraf, dia hanya sedar seketika dan bertanya kawan sekerjanya apa yang berlaku sebelum ambulan tiba dan terus tidak sedarkan diri selama empat hari.

Apa yang menyedihkan dari rasa kebas itu, tempurung kepala sebelah kirinya dibelah kerana terdapatnya darah beku di mana pasukan perubatan mengambil tindakan pantas menyelamatkan nyawanya.

Ayap tiba-tiba rebah dan kritikal sehingga pembedahan segera dibuat demi menyelamatkan nyawanya
Sebahagian tempurung kepalanya dibuang dan bagi memasang implan, kosnya mencecah RM20 ribu

Berkongsi kisah 12 November lalu, kata Muhammad Adli Asyraf atau mesra disapa Ayap, dia sedang duduk bersarapan ketika kejadian. Tiba-tiba mukanya terasa kebas dan dia terus terjatuh dari kerusi.

“Kata kawan sekerja, semasa sedar selepas terjatuh itu, saya hanya sempat bertanya apa yang berlaku dan kemudian pengsan kembali. Masa dalam ambulan pun dah tak sedar sehinggalah tiba di hospital.

“Kata mak, dia cuba panggil-panggil saya tapi saya hanya mampu angkat tiga jari dan terus tidak sedarkan diri,” katanya yang dikejarkan ke unit pembedahan kerana hasil xray, terdapat darah beku di bahagian kepalanya. Malah keluarganya juga tiada pilihan lain kerana perlu menandatangani borang persetujuan bedah dengan kadar segera kerananya kritikal.

Semua pergerakan Ayap perlu dibantu agar dia tidak lagi jatuh sehingga membahayakan nyawanya

Lebih sebulan selepas sebahagian tempurung kepalanya dibuang terdapat lekukan besar di kepalanya.

Ayap yang kini cuti sakit dan bekerja di Henry Butcher berkata, pada pembedahan pertama di KPJ Hospital Damansara, bil rawatannya mencecah RM83 ribu.

Menurut bapanya, Jasni bin Abdullah, 56 tahun, kos rawatan agak tinggi kerana sebahagian tempurung kepala anaknya dibuang.

“Insuran dari pejabatnya hanya RM50 ribu. Nasib baik jugalah ketika bulan empat hari itu, saya baru pencen. Duit baki pembedahan sebanyak RM33 ribu itu saya guna dari duit bersara,”katanya ketika ditemui di rumahnya, Blok B, PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Jasni berkata dia memerlukan lebih RM80 ribu bagi pembedahan kedua anaknya yang dijangka Januari akan datang

Sebagai bapa dia bertanya kepada pakar perubatan bagaimana kemungkinan penyakit anaknya  itu terjadi.

“Kata doktor, mungkin kerana terlalu aktif bersukan, ia merisikokan bahagian urat di kepala. Masa yang sama, biar anak tiada kencing manis, darah tinggi dan sebagainya, dalam kes anaknya doktor meletakkan darah tinggi sebagai penyebabnya,” katanya ketika ditemui.

Ayap yang kini menjalani fisioterapi tiga kali seminggu belum pulih sepenuhnya. Kerisauan bapa ini terhadap anak ketiganya ini masih lagi tinggi kerana Ayap belum disahkan pulih lagi biarpun sebahagian tempurung kepalanya dibuang.

Kata Jasni, memandangkan bil perubatan agak tinggi di mana dia sudah tidak lagi bekerja dan isterinya juga sama, dia bertindak memindahkan anaknya ke Pusat Perubatan Hospital UKM (PPHUKM). Hasil dari angiogram yang dilakukan terdapat lagi darah beku di salur otak anaknya.

“Inilah yang risaukan hati kami semua. Kata doktor pakar yang merawatnya, jika darah beku ini tidak dibuang dan jika pecah, risiko dan nyawa anak dalam bahaya kerana sudah ada sejarah sebelum ini.

“Kos pembedahan membuang darah beku yang doktor cadangkan antara RM60 ribu ke atas. Pembedahan memasang tempurung implan pula mencecah RM20 ribu lebih. Soal kewangan agak tinggi ini merisaukan hati tetapi masa yang sama, anak perlu jalani pembedahan secepat mungkin. Doktor cadangkan Januari 2019 ini tetapi buat masa ini wang belum mencukupi. Masa yang sama buat masa ini anak makan sejenis makanan yang diberikan oleh doktor pakar untuk otaknya yang mana satu kotak mencecah RM2000,”katanya kelihatan risau.

Ubatan tambahan ini mencecah RM2 ribu bagi satu kotak dan ia perlu dibeli kerana tidak dibekalkan oleh pihak hospital

Sementara itu, bagi ibu Ayap, Hasanah Hassan 50 tahun berkata, dia menguruskan segala keperluan anak bujangnya kerana buat masa ini Ayap belum boleh berdiri dengan stabil.

“Kalau tak pegang dia akan jatuh. Perlu dibantu lagi. Alhamdulillah juga memorinya tidak terjejas kerana kalau itu yang berlaku risiko nyawa akan lebih terancam,’katanya yang selalu mendoakan anak ketiganya itu kembali pulih seperti sebelum ini.

Bagi anda yang bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan demi meringankan beban keluarga ini demi pembedahan Ayap, boleh salurkan bantuan ke akaun CIMB Bank atas nama Muhammad Adli Asyraf Jasni di nombor akaun 7057679401.

Mana tahu hari ini kita bantu orang dan esok lusa orang bantu kita pula.

 

 

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros