Seorang ibu menyelamatkan nyawa anak lelakinya yang disangka sudah mati sewaktu upacara pembakaran mayatnya sebelum ibunya sendiri perasan ada air mata mengalir di pipi anaknya itu.
Memetik laporan Mirror, Gandham Kiran, 18 tahun berada di dalam keadaan koma sebelum doktor mengesahkan bahawa dia berada dalam keadaan vegetatif seterusnya diisytiharkan sebagai brain dead
.Saat ahli keluarganya menyiapkan dirinya untuk upacara pembakaran mayat, ketika itulah ibu Kiran menyedari bahawa anaknya itu mengalirkan air mata.
“Saya sangat terkejut dan segera memanggil ahli keluarga yang lain serta memanggil pengamal perubatan yang kemudiannya mengesahkan bahawa anak saya masih hidup dan memohon agar kami tidak menghentikan mesin sokongan hayat.
“Tiga hari kemudian, Kiran kembali sedar dan mula bercakap dengan kami walaupun suara perlahan. Dia dibenarkan keluar pada Ahad lalu dan sehingga kini masih dalam proses rawatan,” katanya kepada Hindustan Times.
Sebelum ini, Kiran yang berasal dari kampung Pillalamarri di Daerah Telangana, India dimasukkan ke hospital kerana demam panas dan muntah-muntah.
Keadaannya bertukar kritikal sehingga dipindahkan ke hospital lain dan mula koma pada 3 Julai lalu. Doktor kemudiannya mengisytiharkan dia sebagai brain dead
namun ibunya tidak mahu mematikan mesin sokongan hayatnya.“Saya mahu anak saya bernafas hingga ke akhirnya di kampung jadi kami bawa dia dengan mesin sokongan hayatnya sekali,” jelas ibunya.
Ternyata ketegasan ibunya itu berjaya menyelamatkan Kiran. Benarlah bahawa gerak hati seorang ibu sememangnya betul.