Remaja Genius Adi Putra Bimbang Masa Depan Pendidikan Malaysia Sebab…

Share

Remaja genius Matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 19 merupakan salah seorang pemerhati yang hadir semasa sesi debat Sinar Harian awal minggu ini.

Hasil kepintaran luar biasanya itu, Adi kini telah bergelar seorang tenaga pengajar.

Telah banyak luahan rasa ibu bapa, guru dan pelajar yang didengari oleh Adi sepanjang bergelar pengajar dan pastinya, ia meresahkan Adi terutamanya apabila memikirkan masa depan sistem pendidikan negara apabila tiba masa untuk memilih kerajaan baru, Mei ini.

“Lima tahun kebelakangan ini, banyak perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan. Contohnya dari PMR ke PT3. Pertukaran ini memberi impak yang sangat besar kepada para pelajar di sekolah. Lalu, situasi kadangkala bertukar hangat di antara guru dan ibu bapa.

“Jadi saya tertanya apakah perancangan parti politik tentang masa depan pelajar sekolah ini?” soal Adi kepada Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menjawab pertanyaan tersebut, Syed Saddiq menegaskan bahawa Pakatan Harapan akan asingkan pendidikan dengan mana-mana parti politik atau ahli politik.

“Tiada lagi kes pelajar sekolah di Putrajaya yang dipaksa mengibarkan bendera parti politik seperti sebelum ini.

“Kita juga akan pastikan mereka yang melunaskan sistem pendidikan adalah betul-betul pakar.

“Masalahnya sekarang, apabila ada pertukaran menteri, pasti akan adanya pertukaran sistem pendidikan.”

Apabila terlalu banyak perubahan berlaku dalam masa yang singkat, bukan saja pelajar yang menghadapi masalah malah para guru juga terpaksa meneliti sistem baru.

Tambah Syed Saddiq lagi, “Di peringkat universiti, kita harus kembalikan kuasa semula kepada pemimpin mahasiswa. Mungkin ramai yang mendakwa anak muda mahasiswa tak pandai, tak cerdik, tak berpengalaman dan tak boleh mentadbir.

“Tetapi kalau kita lihat di Universiti Oxford dan Cambridge, pemimpin pelajar di sana diperuntukkan dengan bajet 1.5 juta Pound untuk gerakkan program-program di sana.”

“Kita boleh bayangkan betapa susahnya pemilihan untuk mendapatkan pemimpin universiti paling berwibawa untuk menerima tanggungjawab itu,” jawabnya.

* * * * *

Dalam pada itu di sebelah pihak Barisan Nasional (BN) pula, Datuk Seri Najib berjanji untuk membawa Malaysia ke ‘tahap kategori tiga teratas’ dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

Selain memperkasakan Bahasa Inggeris dengan menjadikannya mata pelajaran wajib luluk untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka juga ingin meneruskan usaha menyediakan lebih banyak sekolah, menyediakan peruntukan khas kepasa semua jenis sekolah termasuk SKJC, SJKT, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Mubaligh.

Di peringkat pendidikan tinggi pula, BN berjanji untuk menukar status sekolah vokasional sebagai kolej dan menyediakan kemudahan WiFi secara percuma di semua kampus IPTA.

* * * * *

Isu kepimpinan pelajar, sistem pendidikan di sekolah, bajet yang diperuntukkan untuk pendidikan sekolah tanpa diskriminasi dan isu pembayaran semula pinjaman PTPTN dilihat menjadi perkara yang amat dititik beratkan oleh pengundi millenial.

Ini kerana merekalah generasi terkini yang telah melalui segala macam perubahan dalam landskap pendidikan sejak awal 2000-an. Kini mereka mempunyai hak untuk memilih kerajaan yang dilihat lebih berpotensi memberikan lebih kebaikan kepada sistem pendidikan negara.

Published by
FZ