Remaja Jepun Sambar Pingat Emas PERTAMA ‘Skateboarding’ Dalam Sejarah Olimpik

Share

Buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Sukan Olimpik, sukan papan luncur ataupun skateboarding telah diperkenalkan pada edisi Tokyo 2020 kali ini.

 

Dahulu, ada yang beranggapan skateboarding sebagai aktiviti hobi jalanan anak muda. Ia kemudian mula mendapat perhatian ramai sebagai salah satu gaya hidup sihat dek pengaruh yang dimiliki oleh peluncur lagenda Amerika Syarikat, Tony Hawk.

Kini 21 tahun setelah Hawk mengambil keputusan berhenti daripada bertanding secara profesional, sukan skateboarding muncul buat kali pertama di pentas Sukan Olimpik hari ini.

Bertempat di Ariake Urban Sports Park, acara akhir Men’s Street telah menyaksikan saingan yang cukup sengit diberikan peluncur dari Amerika Syarikat, Jagger Eaton dan peluncur dari Brazil, Kelvin Hoefler.

Namun, pingat emas pertama skateboarding ini telah disambar peluncur dari negara tuan rumah Jepun menerusi peluncur remaja, Horigome Yuto.

Sumber Foto : REUTERS.
Sumber Foto : AFP

Remaja berusia 22 tahun ini mengumpul skor 37.18 bagi mengatasi Hoefler yang ketinggalan 1.03 mata di belakang bagi meraih pingat perak.

Yuto yang juga merupakan anak kepada seorang pemandu teksi di Tokyo pada awalnya bermula agak goyah. Namun dia kembali dari belakang dengan satu-persatu trik menarik sehinggakan dia mampu berada pada kedudukan teratas.

Ia sekaligus menyaksikan Yuto mengatasi saingan atlet kegemaran ramai dari Amerika Syarikat, Nyjah Huston yang terpaksa berpuas hati di kedudukan ketujuh secara keseluruhan setelah terjatuh empat kali berturut-turut.

*

Untuk pengetahuan, setiap atlet perlu melakukan dua pusingan di skate park dalam masa 45 saat dan perlu melalui ramp, tangga, curbs, dinding dan rail. Mereka kemudiannya akan mengambil giliran mempersembahkan 5 trik yang dipilih sendiri.

Dari situ, lima orang para juri memberikan skor (10 menjadi skor tertinggi) untuk dua pusingan itu dan mengikut lima trik tersebut. Antara elemen yang diambil kira adalah kepantasan, kesukaran trik, originaliti, masa serta penyudahan. Bagi setiap elemen ini, skor tertinggi dan terendah akan disingkirkan, lalu hanya tiga skor lain diambil kira.

Empat skor purata tertinggi daripada 2 pusingan dan 5 elemen tersebut kemudiannya akan digabungkan menjadi skor keseluruhan. Ini bermakna, hanya empat daripada tujuh skor tadi yang diambil kira.

Pada dua pusingan awal itulah waktu di mana Yuto sedikit bergelut dengan persembahannya. Bagaimanapun, dia bertambah lebih baik dalam bahagian trik dan memperolehi skor hampir sempurna dengan kutipan 9.50.

Cer tengok klip pendek persembahan Yuto di bawah ini:

Sumber Foto : AFP.

Sekiranya Yuto memenangi kategori Street, sukan skateboarding ini juga mempertandingkan kategori Park. Berlainan dengan Street yang mempunyai halangan, Park pula dipertandingkan di arena berbentuk bujur (seperti yang selalu kita saksikan) dan mempunyai halangan tersendiri pada bahagian ramp dan dinding.

ARTIKEL BERKAITANRemaja 21 Tahun Jadi Pemenang Pingat Emas Pertama, ‘Self Service’ Di Podium – REMAJA

Published by
FZ