Seorang anak Sarawak, Eason Eyeo Yik Xing, telah mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih tempat kedua dalam Pertandingan Muzik Antarabangsa Instrumen Tradisional di Taiwan, baru-baru ini.
Eason berjaya memukau para juri dengan alunan indah alat muzik tradisional dari bumi Kenyalang, Sape. Remaja berusia 11 tahun ini tidak hanya membawa pulang pingat, tetapi turut berjaya mempamerkan keunikan budaya Borneo di pentas antarabangsa.
Menurut laporan media tempatan, Eason yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Elizabeth Bungan, baru sahaja mula mempelajari Sape pada tahun 2023. Walaupun baru berjinak dalam bidang ini, dia sudah mampu memberi impak yang besar dalam pertandingan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN : Kolej Tunku Kurshiah Cipta Sejarah Di Peringkat Antarabangsa, Berjaya Tewaskan Robot Sumo Jepun!
Eason mengakui bahawa pemain alat muzik Sape ternama seperti Matthew Ngau dan Frederick Maldini menjadi sumber inspirasinya. Dengan semangat dan dedikasi tinggi, dia menjadikan pertandingan ini sebagai pengalaman yang sangat berharga.
“Saya sangat berbangga kerana dapat mempersembahkan Sape di pentas antarabangsa. Ini adalah peluang untuk menunjukkan keunikan alat muzik tradisional Sape kepada dunia,” katanya.
Selain memperkenalkan Sape kepada audiens antarabangsa, Eason juga berjaya menyalakan semangat cinta terhadap muzik tradisional tempatan.
Kata Eason, pertandingan ini turut membuka peluang untuk bertukar pengalaman dengan peserta dari negara-negara seperti Jepun, Hong Kong, Taiwan, Thailand, dan Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN :
Graduan Autisme Buktikan Kecemerlangan Akademik, Berjaya Genggam Ijazah Di UPM. Tahniah!