Masalah salah laku sosial di kalangan remaja bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat kita. Gejala ini sebenarnya sudah lama berlaku tetapi lebih membimbangkan bila ramai anak muda yang masih terjerumus dalam kancah perilaku negatif ini.
Kami tertarik dengan kupasan yang dibuat oleh The Malaysian Insight tentang isu porno dan ketagihan seks yang semakin menular di Malaysia.
Kurang didikan agama
Menyingkap kisah seorang remaja perempuan, Juliana Abas (bukan nama sebenar) yang sudah mula menonton porno sejak berumur 12 tahun lagi dan mengaku bahawa pada mulanya langsung tidak tahu apa itu hubungan seks sehinggalah dia tahu untuk memuat naik gambar dan video lucah di telefon bimbit.
“Saya mula menonton video lucah seawal darjah enam dan ketika itu saya langsung tidak tahu apa-apa tentang seks. Tetapi apabila sudah menonton, saya mula ketagih dan jika berada di rumah dan mempunyai Wifi, saya akan sentiasa mencari bahan porno,” kata Juliana.
Gambar hiasan
Tinggal di asrama membuatkan rutin menonton porno menjadi terhad kerana tiada kemudahan internet tetapi sebaik saja pulang bercuti ke rumah, gadis ini akan terus menonton video lucah.
Kurang mendapat pengawasan dan didikan agama daripada ibu bapa menjadi salah satu faktor Juliana bebas untuk mengakses bahan-bahan tersebut.
Pada Mei lepas, kerajaan mendedahkan tentang sebuah survey yang telah dibuat dan menunjukkan bahawa 35.3 peratus golongan remaja mengakui menonton pornografi yang 60 peratus daripadanya diperoleh daripada internet.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), 4.8 peratus daripada rakyat Malaysia yang belum berkahwin di antara umur 13 dan 24 aktif dalam melakukan hubungan seks.
Pengaruh rakan sebaya
Gambar hiasan
Ketagihan pornografi ini semakin meningkat apabila gadis ini menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta, di mana dia menyewa rumah dengan beberapa teman yang lain. Tidak lama kemudian, teman lelakinya berpindah ke sana dan mereka menjalani kehidupan sosial yang sangat bebas.
“Semua rakan serumah membawa boyfriend ke rumah, begitu juga saya. Kami melakukan hubungan seks dengan kerap sehingga saya sendiri tidak dapat mengira,” jelasnya.
Masalah ini bertambah rumit bila dia disahkan mengandung empat bulan pada tahun 2015 yang lalu. Setelah melahirkan, remaja ini menyerahkan anak itu kepada rumah kebajikan dan memutuskan untuk mendapat bimbingan dan kaunseling di Raudhatus Sakinah yang merupakan pusat bimbingan remaja puteri.
Kurangnya pendidikan seks
Menurut Dr Kartini Aboo Thalib @ Khalid, ahli sosiologi mengatakan bahawa peningkatan jumlah masalah remaja termasuk salah laku seksual dan pornografi boleh dilihat menerusi sistem pendidikan yang hanya menumpukan pada pencapaian akademik.
“Sistem persekolahan harus holistik dan praktikal untuk menyampaikan prinsip gaya hidup yang sihat dan positif,” terang Dr Kartini.
Kerajaan juga harus peka dalam menangani peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan generasi muda.
“Remaja yang ketagih pornografi boleh dikategorikan sebagai menghadapi cabaran mental dan kerajaan perlu menyediakan rawatan dalam bentuk intervensi,”
“Mereka yang menghadapi tekanan sosial dan masalah keluarga juga boleh mencari jalan untuk meminta bantuan supaya dapat dibimbing dengan betul supaya tidak terjerumus kepada pornografi,” jelasnya lagi.
Ibu bapa juga dilihat sebagai individu utama yang perlu mengawal dan memeriksa telefon anak-anak. Mereka perlu tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak bagi mengelakkan sebarang masalah sosial yang berlaku tanpa sedar .
Walaupun masalah ini bukan perkara baru, namun ia tetap harus dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab dalam menangani gejala sosial ini. Tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak, seharusnya kita berganding bahu untuk menyelesaikan isu ini.
Sumber: The Malaysian Insight