Susulan artikel REMAJA bertajuk rahsia surah-surah ini di alam ghaib dan kenapa jin takut saat mendengarnya yang mendapat 36.7 K syer dan dibaca oleh lebih setengah juta pembaca, dalam satu ruangan komen di facebook REMAJA, seorang individu telah memberi pandangan berkaitan alam ghaib yang mana menurutnya dia sering keluar masuk ke alam bunian hingga seekor jin betina melamarnya.
Tertarik dengan ceritanya, wartawan REMAJA mengatur temujanji dan bertemu remaja dimaksudnya iaitu Muhammad Afiq bin Rudy Azmin, 19 tahun, penuntut Aircraft Engineering di Kolej Yayasan Melaka untuk berkongsi kisah hidupnya.
Baca sini : Rahsia Surah-Surah Ini Di ALAM GHAIB, Kenapa Jin TAKUT Saat Mendengarnya
Aktif menulis kisah-kisah motivasi dan hampir siap menghasilkan sebuah buku motivasi khusus untuk golongan remaja di blognya, Malaysianaviationflyelz.blogspot.com, menurut Afiq, dia mula memasuki alam ghaib ketika usianya 16 tahun.
Jom baca kisahnya yang menarik untuk korang fahamkan tentang dunia ghaib ini.
Menurut Afiq, segalanya bermula pada usianya 16 tahun.
“Tahun itu saya kerap bangun malam untuk solat tahajud. Boleh dikatakan agak kerap.
“Mungkin kesan dari bangun malam ini, suatu hari saya bermimpi dibawa ke rumah nenek. Dalam mimpi itu saya nampak ada baby, ayam, pisau seolah-olah mereka cuba buat ritual agama. Mereka sembelih ayam dan darahnya memercik.
“Dalam takut-takut itu, mimpi itu berakhir. Kesannya saya terjaga dari tidur dan rasa amat takut. Terasa-rasa seperti ada mata sedang memerhatikan saya. Bila tengok jam sekitar 3 pagi.
“Sejak dari kejadian itu, saya sering bermimpi benda-benda pelik. Saya nampak pocong dua ekor, saya nampak pontianak. Malah saya boleh dengar bunyi tapak kaki di siling rumah, dengar baby menangis dan benda-benda berkaitan sihir,” katanya yang tampak tenang.
Agak-agak bagaimana rupa pocong eh?
Menurut Afiq, sama kita lihat iaitu seperti mayat berbungkus dengan bunjut di kepala, begitulah pocong yang datang dalam mimpi dan mengejarnya.
“Mata pocong hitam, bukan seperti mata manusia,” katanya.
Rupa pontianak pula?
Kalau nak tahu, rupa pontianak lebih seram, kuku panjang, taring panjang, mengilai cuma part rambut itu, Afiq tak berapa nampak kerana dia sendiri dalam ketakutan kerana selepas terjaga, seluruh tubuhnya berpeluh.
Menurut Afiq, mimpi-mimpi pelik dan takut ini sering dihadapinya. Seminggu lebih dari tiga kali dan perasaannya berbaur. Ada takut, ada tidak, ada ngeri dan sebagainya. Jelas Afiq lagi, jika dirinya bermimpi dan tidak diganggu secara fizikal tetapi hal pula dengan ibunya. Ibunya sering sakit tengkuk, sakit pinggang dan sakit badan.
Jelas Afiq lagi, dia sudah mendapatkan rawatan bertemu ustaz-ustaz termasuk dilakukan ayat-ayat rukyah tetapi mimpi ini tetap datang setiap hari biarpun dia selalu berdoa agar mimpi-mimpi pelik ini tidak datang.
Bagaimana dengan alam ghaib dan apa gambaran sebenar di sana?
Tentu ramai dari kita tertanya-tanyakan bagaimana gambaran di alam ghaib. Disebabkan sering bermimpi benda pelik dan menakutkan, kata Afiq, suatu hari dia bermimpi dibawa ke tempat lebih indah.
“Terlalu cantik, saya boleh nampak sebuah perkampungan cantik, tiada tekanan. Tiada apa nak dirisaukan. Malah saya boleh nampak aurora yang sangat cantik. Dapat tengok bintang dan paling best rasa sangat tenang di sana,”kata Afiq memaklumkan, semua keindahan dan ketenangan dipertontonkan kepadanya ini berubah 100 peratus selepas dia didatangi satu jin betina yang melamarnya.
“Dalam kejadian mimpi itu, jin ini datang bersama bapanya. Jin betina itu hanya diam dan bapanya saja yang bertanya. Dia mahu melamar saya untuk anaknya dan saya pula ketika itu telah berkata YA saat diajukan soalan.
“Sejak itulah saya dibawa memasuki alam ghaib. Dipertontonkan macam-macam. Kata orang out of box pemikiran manusia. Saya pula walau pun sudah berkata ya tetapi saya masih mempertahankan diri diri saya dengan ayat-ayat Quran kerana tak mahu terus hanyut.
“Saya berkata YA itu tanpa sedar. Mungkin kerana keadaan ketika itu. Sebab itulah saya sentiasa memagarkan diri saya dengan ayat-ayat Quran kerana tak mahu jauh terpesong,” katanya memberitahu dalam seminggu lebih dari tiga kali dia keluar masuk ke alam ghaib. Malah akui Afiq, dia dapat merasakan kehadiran jin betina ini termasuk di siang hari dan biasanya petanda adalah “aura merah” yang dapat dirasai.
Kena hati-hati dengan jin
Nasihat Afiq, kejadian jin dan manusia ini jauh bezanya dan dia sendiri amat berhati-hati termasuk menjaga auratnya ketika mandi.
Biar pun kelebihan begini, Afiq tidak menganggap ia satu beban malah dia sendiri ada ketikanya tidak mahu memikirkannya dengan lebih mendalam. Ditanya pernah dirinya mendapat “barang” pemberian jin betina itu kepadanya, kata Afiq tidak pernah. Malah dia berkali-kali memesan agar berhati-hati dengan jin biarpun dia dapat merasai kehadiran makhluk itu selepas berkata YA dalam mimpinya itu.
So korang, nak ke masuk ke alam ghaib? Dengar pengalaman Afiq keluar masuk ke alam ghaib.