Remaja sebagai sebuah jenama media yang telah bertahan lebih 40 tahun di Malaysia hadir dengan kempen terbaharu Remaja-On-Road yang bakal menjadi sebuah signature event yang berterusan.

Remaja yang sebelum ini terkenal dengan pencarian berkaliber bakat muda seperti Hero Remaja dan Dewi Remaja serta kempen memperkasakan bahasa kebangsaan menerusi Saya #RemajaMalaysia, kempen Remaja-On-Road merupakan sebuah wadah untuk mendekati golongan pelajar yang berada di bangku universiti dan persekolahan (menengah atas).

Merangkumi acara sehari bersama golongan pelajar, antara pengisian yang bakal diketengahkan adalah sesi YouthTalk, Beauty Camp dan Remaja Talent Casting. Pengisian sesi YouthTalk akan merangkumi topik perbicaraan bersama panel terpilih mengenai isu semasa dan pemantapan minda bagi para pelajar yang bakal menamatkan pengajian.

Sesi Beauty Camp pula akan menampilkan jurusolek atau penata gaya profesional bagi memberi tip kepada para pelajar untuk menerima ilmu tentang penjagaan penampilan diri yang tepat. Kemuncak acara Remaja-On-Road akan disudahi dengan sesi Remaja Talent Casting di mana pihak editorial Remaja akan melakukan sesi uji bakat terbuka kepada pelajar untuk menonjolkan bakat mereka. Pelajar yang terpilih bakal diberi peluang untuk muncul dalam rancangan digital terbitan Remaja.

Remaja Lancar Kempen ‘Remaja-On-Road’ Bagi Memperkasa Golongan Pelajar Di Universiti & Sekolah

Ads

Sepanjang tahun, pihak Remaja akan berkolaborasi dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah sebagai rakan strategik bagi menjalankan kempen ini. Dari utara ke selatan tanah air, dengan adanya kempen ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada golongan pelajar untuk menerapkan nilai positif dan seterusnya maju untuk menempuhi fasa selepas pengajian.

Edisi pertama Remaja-On-Road bakal diadakan pada 22 Mac 2023 bertempat di UiTM Shah Alam hasil kolaborasi bersama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM. Sesi YouthTalk dengan tajuk “Penjenamaan Pada Era Digital” bakal menampilkan ahli panel yang terdiri daripada Ben Ali (Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn. Bhd), Shaza Bae (Hos, Pelakon & Juara Dewi Remaja 2019) dan Rahiman Rahizar (Ikon MASMED). Sesi ini akan dikemudi oleh Mellya Azizi (Hos, Aktivis Politik & Sukarelawan).

Sesi Beauty Camp pula akan dikendali oleh jurusolek profesional terkenal, Ayang Kamell. Kedua-dua sesi ini akan disiarkan secara langsung menerusi Instagram dan TikTok Remaja.

Ads

Menurut Fiezreen Ahmad, selaku Editor Pengurusan Remaja, “Remaja sejak dahulu menjadi satu platform pengembangan bakat dan personaliti. Daripada pencarian Dewi Remaja ke pencarian Hero Remaja yang berjaya mencungkil bakat anak seni alaf baharu ternyata memberi indikasi jenama Remaja relevan hingga ke hari ini.

“Kemudian diwujudkan pula kempen Saya #RemajaMalaysia bermula tahun 2019 bertujuan untuk menyemarakkan rasa cinta kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan remaja. Sepanjang lebih tiga tahun penganjuran, para pelajar universiti dan sekolah menengah dari seluruh pelusuk negara menyertai kempen ini menerusi Pertandingan Esei dan Pengucapan Awam.

Ads

“Kini tiba masanya, Remaja bergerak setapak lagi ke hadapan menerusi pendekatan penganjuran acara di premis IPT dan sekolah. Diharapkan kempen Remaja-On-Road akan menjadi satu wadah untuk para pelajar menimba ilmu daripada panel industri dan turut berkongsi pandangan tentang isu yang dibincangkan.”

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI