Remaja Lari Dari Rumah, Merajuk Bila Mak Suruh Mengemas

Share

‘Kasih ibu dibawa ke syurga, kasih ayah tiada pengganti’. Begitulah hebatnya kedua orang tua kita sehingga ada peribahasa yang menggambarkan betapa mulianya mereka dan sebagai anak, kita perlu sentiasa menghormati keduanya.

Namun, apa yang terjadi hari ini sepatutnya dijadikan pengajaran dan teladan kepada kita semua. Hanya kerana ditegur supaya mengemas rumah dengan nada yang agak tinggi, seorang remaja perempuan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat yang lalu.

Ibu kepada remaja 17 tahun ini, Hasanatul Kalikah berkata, pada hari anaknya itu keluar dari rumah, dia ada menegurnya supaya mengemas rumah.

“Selepas itu, saya nampak dia keluar bawa beg tapi taklah terfikir nak lari. Mungkin agaknya dia merajuk dengan saya,” katanya.

Dia menyangka anaknya, Nur Ainin Sufiah Mohd Adam hanya keluar ke rumah kawan. Namun begitu, anaknya itu langsung tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi.

Cubaan menelefon dan menghantar mesej melalui Whatsapp gagal kerana tidak dijawab oleh anaknya.

Ibunya sekali lagi cuba untuk bertanya tentang anaknya itu di dalam Whatsapp Group sekolah. Menurut kawan anaknya, remaja itu selamat dan kini berada di rumah ibu tirinya di Port Dickson.

“Saya nak cari Ainin pun tak tahu alamat rumah ibu tirinya di mana. Saya betul-betul risau kerana dia perempuan dan berada di bawah tanggungjawab saya sebagai ibu kandung sejak ayahnya meninggal dunia Jun lalu,” katanya.

“Ibu minta maaf jika terkasar,”rayunya.

Kata ibu itu lagi, dia tidak lagi memarahi Ainin dan hanya mahukan anaknya itu pulang dalam keadaan selamat kerana terlalu merinduinya.

Rata-rata netizen memberikan nasihat kepada adik Ainin supaya cepat-cepat pulang ke rumah.

Walau apapun perselisihan antara kita dan ibu bapa, sebaiknya sebagai anak kita perlu lebih banyak bersabar kerana buruk baik mereka pun tetap mak ayah kita. Jadi, sama-samalah kita doa yang baik-baik ya?

Sumber: Sinar Harian

Published by
Noor Ain Norman