Remaja Menyamar Doktor PPV Di Kuching Terima Hukuman 120 Jam

Share

 

Kalau korang masih ingat pada bulan lalu, seorang remaja berusia 20 tahun bernama Shah Hairil Izman Dave telah ditangkap selepas kantoi menyamar menjadi seorang doktor di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak.

Sumber Foto : Facebook JKJAV

Insiden yang berlaku di Hospital Umum Sarawak itu sebenarnya bukanlah percubaan kali pertama oleh remaja yang berasal dari Bandar Bau Semariang ini. Amat memeranjatkan apabila siasatan mendapati dia pernah melakukannya sekerap 32 kali dari 16 Jun hingga 1 Julai lalu.

Dari luaran, Shah Hairel memiliki kesemua perkakas dan peralatan yang diperlukan untuk kelihatan seperti seorang doktor sebenar seperti kad nama, peralatan perubatan, cop, pas palsu sebagai kakitangan di hospital berkenaan dan kelengkapan lain yang dibawanya sendiri.

Sumber Foto : PDRM

Biarpun ‘berpengalaman’ menjadi seorang doktor sehingga 32 kali, penipuannya berakhir setelah dia didapati hanya berusia 20 tahun semasa sibuk berbual dengan doktor lain; lantas menimbulkan keraguan di kalangan kakitangan di sana. Setelah siasatan dijalankan, dia  rupanya mempunyai minat mendalam dalam bidang perubatan malah telah mempelajari ilmu perubatan secara dalam talian.

Oleh sebab ini dianggap sebagai satu bentuk kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai seorang penjawat awam, maka kes ini perlu dirujuk ke Mahkamah Kuching pada hari ini dalam sebuah prosiding.

Hasilnya, Shah Hairil pada hari ini telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan di atasnya. Perintah ini dibuat di bawah Seksyen 293(1)(e) Kanun Prosedur Jenayah.

Dia bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman maksimum dua tahuun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penulis sebenarnya masih keliru bagaimana tertuduh boleh bertahan menjadi doktor sekerap 32 kali tanpa ‘terkantoi’ oleh pihak pengurusan mahupun para doktor lain? Namun orang kata, sepandai-pandai tupai melompat (sebanyak 32 kali dalam kes ini) akhirnya jatuh ke tanah juga.

Published by
Team Remaja