Majalah Remaja kali ini memilih Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan (FPHP) UiTM Puncak Alam untuk meneruskan Kempen Remaja On Road.
Berlangsung di Dewan Sri Alam, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang dan cabaran dalam industri hospitaliti dan kulinari, terutama dalam era digital yang berkembang pesat.
Program ini dimulakan dengan ucapan sepatah dua kata dan perasmian oleh Dekan FPHP, Dr. Norzuwana Sumarjan. Sementelah itu, sesi diteruskan dengan Remaja Youth Talk pada jam 10.00 pagi, bertajuk ‘Dunia Baharu Hospitaliti & Kulinari Dalam Era Digital’.
Para panelis berpengalaman dalam industri akan berkongsi pengetahuan tentang trend terkini dan teknologi yang mempengaruhi bidang ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Lancar Kempen ‘Remaja-On-Road’ Bagi Memperkasa Golongan Pelajar Di Universiti & Sekolah
Barisan panelis yang dijemput termasuk chef dan content creator yang terkenal Zam Akmal; Pengurus Pemasaran F&B di Marriot International Malaysia Zhamir Faris; Ryan Liew, juara Latte Art Championship Malaysia 2022 dan 2023. selain itu, Hos televisyen meningkat naik, Irfan Syahmi, bertindak sebagai pengacara dan moderator bagi sesi berkenaan.
Menurut Cef Zam, media sosial dan internet memainkan peranan penting dalam membentuk identiti dan mempromosikan diri, terutama dalam bidang pelancongan dan perhotelan.
“Tanpa media sosial mahupun internet, orang luar tidak akan tahu siapa diri kita. Media sosial juga adalah salah satu platform untuk kita menjual diri.
“Cara kita menjual diri itu adalah dengan cara bina profile supaya orang luar lebih mengenali kita dan sebarlah kebaikan di media sosial,” katanya.
Bagi Zhamir Faris, dia turut menyatakan bahawa bidang hotel dan pelancongan menawarkan pelbagai peluang kerjaya.
“Bidang hotel dan pelancongan ini bukanlah sekadar jika dah tamat pengajian akan jadi cef, house keeping atau apa pun. Tetapi ia sebenarnya banyak cabang. Seperti contoh, saya kini sebagai pegawai pemasaran di sebuah hotel ternama.
“Jadi, dari pengurusan pelancongan ke bidang pemasaran. Seperti di hotel, banyak jawatan yang kita boleh cuba. Jadi, jangan limit yourself kepada satu kemahiran sahaja,” tuturnya.
Kata panel seterusnya, Ryan percaya bahawa media sosial sangat penting bagi sebuah cafe dan restoran untuk dikenali ramai.
“Media sosial ini adalah impak terbesar untuk pemasaran. Jadi, saya percaya dalam bidang barista juga, pemasaran adalah sangat penting terutama jika cafe atau restoran anda dikenali ramai menerusi media sosial.
“Saya juga percaya media sosial membantu saya untuk menonjolkan diri saya dari segi ‘art work’ saya,” ujar Ryan.
Acara diteruskan dengan sesi open mic (Q&A) pada jam 11.00 pagi, membolehkan pelajar dan panel untuk berinteraksi, bertukar pandangan, dan membincangkan isu-isu penting dalam hospitaliti dan kulinari. Ini merupakan peluang yang baik untuk membina jaringan antara peserta.
Pada jam 12.00 tengah hari, sesi Remaja Beauty Camp akan dikendalikan oleh Ayang Kamell. Sesi ini memberi tip kepada para pelajar untuk menerima ilmu tentang penjagaan penampilan diri yang tepat.
Kemuncak acara Remaja-On-Road
akan disudahi dengan sesi Remaja Talent Casting di mana pihak editorial Remaja akan melakukan sesi uji bakat terbuka kepada pelajar untuk menonjolkan bakat mereka. Pelajar yang terpilih bakal diberi peluang untuk muncul dalam rancangan digital terbitan Remaja.Sekadar info, kempen Remaja-On-Road merupakan sebuah wadah untuk mendekati golongan pelajar yang berada di bangku universiti dan persekolahan (menengah atas).
Kempen ini merangkumi acara sehari bersama golongan pelajar, antara pengisian yang bakal diketengahkan adalah sesi YouthTalk, Beauty Camp dan Remaja Talent Casting.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.