Remaja Rai Hari Jadi Cara Unik, “Sedekah Masa” Kutip Sampah Tepi Jalan Selama 23 Hari

Share

Kita sering lihat orang meraikan dengan pelbagai cara. Ada disambut dengan sebiji kek, dikelilingi kawan-kawan atau keluarga. Ada memilih merai di rumah dan ada juga di luar. Apa pun cara ia sebagai tanda kita meraikan hari jadi yang datang setahun sekali. Namun pendekatan remaja ini begitu berbeza kerana dia menyedekahkan masanya selama 23 untuk mengutip sampah di sekitar Bangi, Kajang dan akan datang ke Balakong untuk meraikan hari jadinya.

Laporan Sinar Harian, seorang remaja meraikan ulang tahun kelahiran dengan cara berbeza apabila melakukan kerja amal mengutip sampah di tepi jalan sekitar Bangi dan beberapa lokasi lain.

Hazmi Nabil Mahmad Faisal, menyambut kelahiran pada 23 Mei lalu sempena usia 18 tahun dan dia memperuntukkan selama 23 hari untuk mengutip sampah di tiga lokasi bermula di Bangi, Kajang dan akan datang di Balakong sehingga 15 Jun.

"Saya memang pantang melihat sampah dibuang merata-rata, sakit mata lihat sampah sana sini. Jadi tahun ini, saya sambut hari lahir dengan cara berbeza, menyumbang tenaga memelihara alam semula jadi selain menabur bakti kepada negara," katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi itu berkata, hari ini sudah memasuki hari ketujuh dia melakukan aktiviti itu bersendirian.

"Buat masa ini, sebanyak 11 beg plastik yang penuh dengan sampah saya berjaya kumpul. Saya berharap dapat capai sasaran pada hari terakhir antara 60 dan 70 beg plastik.

"Pelbagai jenis sampah saya jumpa termasuk plastik dan paling 'rare' ada juga orang sanggup buang almari, telefon di tepi jalan," katanya.






Dalam pada itu, Hazmi Nabil berkata, usahanya itu turut mendapat sokongan ibu bapanya yang berharap kerja murni itu tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya diteruskan.

"Ibu ayah saya sangat bersetuju dengan apa yang saya buat kerana ia mengajar saya supaya memberi bukannya mendapat. Lagipun ia mengajar saya supaya tetap merendah diri dan bersyukur.

"Saya juga berasa sangat puas apabila melihat kawasan yang saya kunjungi itu menjadi bersih dan gembira apabila mendapat tahu ada yang mendapat inspirasi untuk mengutip sampah di kawasan mereka," katanya.

Remaja itu turut menasihatkan masyarakat terus memelihara alam sekitar kerana tindakan membuang sampah merata-rata mendatangkan mudarat.

"Lagipun sampah merata-rata membuatkan imej negara kita tercalar. Saya berharap sangat supaya masyarakat dapat tolong buang sikap seperti ini," ujarnya.

Terdahulu, Twitter Hazmi Nabil mendapat perhatian ramai selepas berkongsi aktiviti kebajikan itu, malah menerima respon positif daripada netizen.

Published by
Almaswa Haji Che Ros