Bagi korang yang menetap di sekitar Lembah Klang, pastinya korang perasan situasi hujan lebat yang berlaku kebelakangan ini.
Jika sebelum ini, viral video insiden dinding cermin berdekatan dengan sebuah mesin ATM Maybank pecah dek angin kuat. Semalam satu lagi insiden berpunca hujan lebat berlaku.
Hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu kota petang tadi telah mengakibatkan seorang penghantar makanan meninggal dunia kerana dihempap pokok tumbang di Alam Damai, Taman Len Seng, Cheras.
Video semasa hujan lebat berlaku
Melalui video perkongsian laman Facebook Info Roadblock JPJ/Polis. Dilihat orang ramai membantu, pemuda Melayu berusia 20 tahun itu tidak sedarkan diri selepas dihempap pokok tumbang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Sahkan rider Grab maut
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 4.28 petang, pasukan bomba diketuai Zaimi Mat Yusuf Ahmad bersama lima anggota melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.”
“Pada masa sama, pasukan bomba turut memotong dan mengalihkan pokok tumbang seterusnya memastikan kawasan dalam keadaan selamat,” katanya
Al-fatihah (dengan bacaan) kami ucapkan buat remaja ini, moga rohnya dicucuri rahmat dari Allah dibulan mulia. Moga korang semua mengambil iktibar atas apa yang berlaku terutama dimusim hujan ini.
Ketika hujan lebat dan petir, perkara penting perlu diketahui bagi melindungi diri daripada disambar kilat.
- Tiada satu tempat di luar yang selamat jika ribut petir berlaku di kawasan berkenaan.
- Jika mendengar guruh di langit, ketahuilah kilat atau petir adalah cukup dekat untuk menyambar anda.
- Apabila mendengar guruh, segera beralih ke tempat perlindungan lebih selamat.
- Contoh tempat berlindung yang selamat adalah bangunan besar atau di dalam kenderaan bertutup dan berbumbung besi.
- Tunggu di tempat perlindungan selamat itu sekurang-kurangnya 30 minit selepas anda mendengar guruh terakhir.
Tip keselamatan ketika berada di dalam bangunan
- Jauhi kabel telefon, komputer dan peralatan elektrik lain yang akan meletakkan anda dalam hubungan secara langsung dengan elektrik.
- Jauhi paip tembaga atau besi, termasuk sinki, tab mandi dan kepala paip.
- Jauhi tingkap dan pintu atau berehat di luar anjung.
- Jangan berbaring di atas lantai konkrit atau bersandar pada dinding konkrit.
Jika terperangkap di luar, langkah ini boleh mengurangkan risiko dipanah petir.
- Segera turun dari kawasan tinggi seperti bukit, rabung atau puncak gunung
- Jangan berbaring di atas tanah
- Jangan menggunakan pokok sebagai tempat berlindung
- Jangan menggunakan tebing atau kawasan berbatu untuk berlindung
- Segera keluar dan jauhi kolam, tasik dan takungan air
- Jauhi objek yang boleh mengalirkan elektrik (pagar kawat berduri, talian elektrik atau telefon dan lain-lain.)
Jika seseorang dipanah petir:
- Jangan bimbang, mangsa tidak membawa sebarang cas elektrik, malahan mangsa mungkin memerlukan perubatan dan perhatian segera.
- Awasi keadaan mangsa dan mulakan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), jika perlu.
- Hubungi talian 999 untuk bantuan
Sumber : Berita Harian (Safeek Affendy Razali), Info Roadblock JPJ/Polis