Pelakon berkaliber, Remy Ishak mengakui rasa kurang senang apabila perlu bergandingan dengan pelakon yang tidak membuat persiapan rapi atau bersikap sambil lewa ketika di set penggambaran.
Dedah pelakon filem popular Sangkar itu, dia pernah berdepan situasi itu dan apa yang lebih mengejutkan, si pelaku adalah pelakon yang boleh dianggap senior dalam industri seni tanah air.
ARTIKEL BERKAITAN :
Pilih Nama Unsur Melayu, ‘Tuah Alam’ Buat Putera Sulung Remy Ishak & Ezza“Jangan kata pelakon baharu, orang lama pun ada yang tidak bersedia ketika penggambaran. Saya lebih rasa menyampah dengan pelakon lama yang tidak bersedia, berbanding bakat baharu.
“Sudahlah pelakon lama, tetapi tidak bersedia daripada segi skrip, babak yang hendak dilakonkan dan sebagainya.
“Walaupun itu tugas pengarah untuk menjaga, namun, kadang-kadang pengarah pun malas untuk berdepan pelakon sebegitu,” katanya ditemui pada sidang media dan sesi tayangan drama terbaharu lakonannya berjudul Restu.
Tambah bapa kepada seorang cahaya mata itu lagi, sikap acuh tak acuh segelintir pelakon akan memberi kesan kepada gandingan lain.
“Saya akan jadi lebih marah kalau bergandingan dengan pelakon sebegitu. Kalau dia tak dapat sampaikan dengan baik, saya pun tak boleh cari makan. Kalau tidak membantu, masa depan saya pun gelap. Ini semua berkaitan kerjasama.
“Pelakon lama pun ada masalah sebenarnya, bukan pelakon baharu sahaja. Saya fikir, pelakon baharu masalah mereka mungkin disebabkan gemuruh sahaja. Tetapi, daripada segi usaha, mereka bagus,” ujarnya lagi.
Terbaharu, Remy membintangi drama Restu arahan Heykal Hanafiah yang mengangkat aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan bersama pelakon lain seperti Puteri Rafasya, Siti Elizad, Wanna Ali, Elizabeth Tan serta Ahirine Ahirudin.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Remy Ishak