
Isi Kandungan
ToggleSewaktu bulan Ramadan lalu, nasi Arab Chef Amar di bazar Stadium Shah Alam menjadi ‘rebutan’ ramai gara-gara kuasa viral di media sosial. Kini, satu lagi juadah dari negara Timur Tengah menjadi kegilaan sehingga ramai yang sanggup beratur berjam lamanya semata-mata untuk mendapatkan kunafa.
Kunafa merupakan hidangan tradisional Timur Tengah yang dibuat dengan pastri seperti mi nipis atau adunan semolina halus berasaskan gula serta dilapis dengan keju. Ia sedap dimakan sewaktu masih panas.
Kalau rasa beli di luar harganya lebih mahal, apa kata korang cuba buat sendiri di rumah dengan menggunakan resipi yang telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Nurul Jannah.

Jom kita lihat resipi mudah kunafa ini.
Bahan-bahan:
- 300g doh kataifi
- ½ cawan metrik minyak sapi
- 300g mozarella cheese block
- Kacang pistachio
Bahan-bahan sirap ros:
- 2 cawan air
- 1 cawan gula pasir
- ¼ cawan madu
- 1 sudu besar perahan lemon
- 1-2 sudu besar air mawar
Cara menyediakan:
1. Buat sirap ros terlebih dahulu, masak semua bahan-bahan bertanda * sehingga likat, kemudian sejukkan
2. Untuk kunafa, carik-carik doh kataifi, masukkan minyak sapi dan sebatikan
3. Lapisan pertama masuk dalam loyang spring form separuh doh kataifi dan lapisan kedua susun mozarella cheese block dan lapisan ketiga tutup dengan baki doh kataifi padat-padat
4. Kemudian, bakar pada suhu 150° selama 35 minit, rak kedua dari bawah dan siap tuang sirap ros yang sudah disejukkan tadi. Sedia untuk dihidang panas-panas

Nak lebih mudah boleh rujuk video di bawah:
Ha, mudah sahaja kan? Selamat mencuba!
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
https://www.youtube.com/watch?v=t8CUdP77dPE
Pakai Jam Pada Tangan Kiri Dianggap Menyalahi Sunnah? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Seperti leher yang dihiasi kalung berloket mutiara, ianya tampak sangat berkelas. Begitu juga dengan pergelangan tangan, alangkah lebih indahnya apabila ia dihiasi dengan seutas jam tangan. Selain untuk melihat waktu ia juga berfungsi sebagai pelengkap aksesori.

Ada selesa memakai di tangan kanan, tak kurang juga ramai memakai di tangan kiri. Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Sahamah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini pernah memperjelaskan satu pertanyaan pemakaian jam tangan di tangan kiri dalam tulisan di fbnya dan apakah kelebihan memakai jam tangan di tangan kanan?
Soalan : Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukum seseorang itu memakai jam di tangan kiri? Adakah ia dianggap menyelisihi sunnah kerana Rasulullah S.A.W suka kepada tayammum (mendahulukan anggota kanan) dalam setiap urusan baginda?
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara asasnya, memang benar bahawa Rasulullah S.A.W suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan baginda. Ini dapat kita lihat di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.A beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’, dan juga dalam urusan baginda seluruhnya–Riwayat Al-Bukhari (168)
Ini bermakna baginda sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam urusan seharian seperti memulakan pemakaian selipar dengan kaki kanan, menyikat rambut dengan tangan kanan, makan dan minum dengan tangan kanan, dan perbuatan-perbuatan selainnya.
Meskipun begitu, terdapat beberapa riwayat yang secara spesifiknya menunjukkan kepada perhiasan atau aksesori yang dipakai oleh Rasulullah S.A.W di tangan baginda iaitulah cincin. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:
Maksudnya: Adalah cincin Nabi S.A.W di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya dari tangan kiri– Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa baginda S.A.W memakai cincin di tangan kiri baginda. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kanan, justeru dengan memakai cincin di tangan kanan pasti akan menjadikan proses tersebut sedikit sukar. Imam Al-Buhuti Rahimahullah berkata: ‘’Memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap’’. Rujuk Kasyyaf Al-Qina’, Al-Buhuti (2/236).
Manakala para ulama Syafi’eyyah berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut:
Maksudnya: Adalah dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk memakai cincin perak di kelingking tangan kanannya. Dan sekiranya dia mahu (dia boleh memakainya) di jari kelingking tangan kirinya. Keduanya sahih dilakukan oleh Nabi S.A.W. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal ia dipakai di tangan kanan. Kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia.- Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/333)
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa isu pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin. Ini kerana, kedua-duanya dipakai di tangan. Oleh kerana itu, apabila kita menyatakan bahawa dibolehkan untuk memakai cincin di tangan kiri, maka demikian juga diharuskan untuk memakai jam tangan di tangan kiri.
Pemakaian jam di tangan kiri ini tidaklah ia termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir. Ini kerana, ia langsung tidak dianggap sebagai perbuatan yang terkhusus dengan budaya dan adat mereka. Bahkan menjadi suatu kebiasaan yang meluas di seluruh dunia bahawa orang-orang Islam juga memakai jam di tangan kiri.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Ini berdasarkan qiyas kepada pemakaian cincin. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu memakan jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang suka mendahulukan anggota kanan, ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insha Allah. Tambahan pula sekiranya pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran untuk makan dengan tangan kanan seperti dengan menanggalkan jam semasa makan, maka ia lebih utama.
Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Kenali Tengku Budriah, Cucunda Raja Kerajaan Melayu Pattani Terakhir

Generasi kini pasti cukup kenal dengan negara Thailand. Ia menjadi salah satu lokasi pelancongan terdekat yang dikunjungi. Baik ke ke Bangkok atau pun Phuket, negara Gajah Putih ini memiliki hubungkait rapat dengan Malaysia dari sejarah dan juga geografi.
Tahukah anda suatu ketika dahulu Kerajaan Melayu Pattani merupakan sebuah wilayah berdaulat yang merangkumi kawasan Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla. Siapa yang tinggal di utara dan timur Malaysia seperti Perlis, Kedah dan Kelantan pasti kenal benar dengan empat daerah ini bukan?

Raja terakhir yang memerintah Pattani adalah Almarhum Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Syah. Baginda telah dibuang negeri dan dilucutkan jawatan sebagai raja pada tahun 1902 oleh Raja Siam (kini dikenali sebagai Thailand) yang berjaya menawan wilayah selatan. ketika cuba melindungi kerajaan Pattani Tengku Abdul Kadir pernah ditangkap dan dipenjara oleh Raja Siam kerana mengingkari arahan.
Baginda kemudiannya telah tinggal di Kelantan sebagai tempat berlindung.
Walaupun begitu keturunan baginda masih lagi cuba membebaskan Pattani dari cengkaman Siam dengan menubuhkan beberapa pergerakan namun mereka tidak berjaya apabila ketika itu British lebih memihak kepada kerajaan Siam. Walaupun kini sudah tiada kerajaan Melayu Pattani di wilayah selatan Thailand, masih banyak peninggalan dahulu kala seperti istana dan juga masjid yang masih tersergam indah biarpun dimamah usia.

YMM RAJA PEREMPUAN BESAR TENGKU BUDRIAH
Almarhum Tengku Budriah merupakan cucunda Almarhum Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Syah menerusi bonda baginda iaitu, Almarhum Tengku Besar Zubaidah binti Tengku Abdul Kadir. Tengku Budriah dilahirkan di Kuala Krai Kelantan pada tahun 1924 dan kemudiannya baginda mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada tahun 1941 ketika berusia 17 tahun. Almarhum Tuanku Syed Putra merupakan Raja Perlis yang ke-6.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata, lima putera dan lima puteri. Raja Perlis kini iaitu DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail merupakan anakanda sulung baginda berdua.
Sepanjang hayatnya, baginda pernah bergelar Raja Permaisuri Agong apabila suaminya ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia ke- 3. Tengku Budriah amat aktif dalam memperkasakan peranan wanita di dalam negara. Baginda banyak menjadi penaung kepada persatuan seperti: –
- Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKLIM)
- Penaung Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah.
- Penaung Lembaga Perkumpulan Perempuan Islam Perlis.
- Penaung Persatuan Dialisis Tuanku Syed Putra
- Penaung Persatuan Hoki Wanita Malaysia.
Salah seorang adinda Almarhum Tengku Budriah merupakan seorang ahli politik dan bekas Menteri Malaysia, iaitu YBM Tengku Sri Mara Raja Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen bin Tengku Mek Haji Ismail. Tengku Ahmad Rithauddeen merupakan bekas menteri kabinet kerajaan Malaysia yang pernah memegang portfolio seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri.
Mangkat pada 28 November 2008 pada usia 84 tahun. Almarhum Tengku Budriah meninggalkan legasi sebagai seorang permaisuri dan raja perempuan yang sangat mengambil berat tentang hal ehwal pembangunan wanita.
Kalau nak tahu Almarhum Tengku Budriah merupakan nenda tiri kepada pempengaruh media sosial terkenal, Chazynash atau nama sebenarnya YM Syed Fernash Syed Badlishah Jamalullail.
P/S: Sebagai remaja generasi baharu, kita harus mengenali serba sedikit tentang sejarah negara sebagai pengetahuan umum agar cerita bangsa tidak mati ditelan zaman. It is good to know about our past history.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
#GirlPower Dr. Malar Dilantik Sebagai Ikon Bahasa Oleh DBP -“Saya Sembahyang & Berdoa Pun Dalam Bahasa Melayu”

Personaliti media sosial dan juga seorang doktor, Dr. Malar Santhi Santherasegapana, meluahkan rasa syukur selepas dilantik sebagai Ikon Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada malam Selasa.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Dr. Malar menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan bahasa Melayu.
“Terima kasih DBP atas pengiktirafan ini (Anugerah Ikon Bahasa DBP 2024). Walaupun saya bersyukur, namun setiap anugerah datang dengan tanggungjawab, maka bahu ini terasa makin berat.
ARTIKEL BERKAITAN: #GirlPower: “Layakkah Saya? Dan Saya Masih Kelu…” -Dr. Malar Terima Anugerah Pekerja Contoh 2023
“Doakan agar saya dapat pikul anugerah dan tanggungjawab ini dengan baik,” coretnya dalam ruangan kapsyen.
Menerusi hantaran yang sama, Dr. Malar juga mendedahkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa utama yang digunakannya sejak kecil.
“Saya ini cakap BM dengan adik-beradik, jadi seingat saya sejak kecil dah bercakap dalam BM. Tapi umur berapa itu saya kurang pasti.
“Kan orang selalu kata, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Saya ini dilentur sejak rebung dan memang betul pun saya halus macam buluh masa masih kecil,” katanya lagi.
Menurutnya, bahasa Melayu bukan sahaja bahasa pertuturannya, tetapi juga bahasa yang digunakan dalam banyak aspek kehidupan, termasuk dalam doa dan sembahyangnya sebagai seorang Hindu.
“BM adalah bahasa pertama saya. Saya berfikir dalam BM, saya geram dan menyumpah pun dalam BM.
“Bukan itu sahaja, saya sembahyang dan berdoa sebagai Hindu pun dalam BM juga. Memang pelik, tapi itulah bahasa selesa saya,” tambahnya.
Selain itu, Dr. Malar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut menyumbang kepada penguasaannya dalam bahasa Melayu.
“Terima kasih keluarga yang membentuk saya. Terima kasih juga kepada semua cikgu BM yang pernah mengajar saya, terima kasih buat semua pengikut saya di media sosial yang tak pernah jemu memberikan semangat.
“Dan terima kasih buat adik-beradik saya yang sampai sekarang masih lagi bercakap, bergaduh, bermesej dalam BM,” katanya.
Selain Dr. Malar, pempengaruh media sosial terkenal Boss James turut dilantik sebagai Ikon Bahasa oleh DBP. Pelantikan ini merupakan satu penghargaan kepada individu-individu yang memberi sumbangan besar dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Terdahulu, Dr. Malar juga menerima Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Facebook Dr. Malar