
Isi Kandungan
ToggleMenikmati minuman manis (sejuk pula) saat berbuka puasa sememangnya memberi kepuasan tatkala seharian menahan haus. Jika ke bazar Ramadan, jualan minuman pastinya ‘menangkap’ perhatian pengunjung kerana warnanya yang menarik disertai dengan ketulan ais.
Kali ini, kami nak kongsikan dengan korang antara minuman yang boleh dibuat sendiri untuk berbuka puasa nanti. Paling penting, resipinya mudah dan senang untuk disediakan.
Jom kita lihat resipi minuman susu strawberi Korea dengan jeli yang telah dikongsi oleh @cookingwithel
Bahan-bahan:
– 28 biji strawberi dicuci bersih
– 130 gram gula (ikut kehendak korang)
– Air lemon (jika mahu)
– Jeli strawberi
– Susu full cream
– Ais
Cara menyediakan:
1. Blender kasar strawberi
2. Kemudian, masak strawberi dan gula sehingga likat
3. Setelah masak, tuang adunan tersebut dalam gelas, masukkan jeli dan ais, seterunya tuang susu secukupnya
Note:
– Korang juga boleh menggunakan minuman yogurt bagi menggantikan susu full cream
– Minuman ini lebih sedap sekiranya korang simpan di dalam peti ais semalaman kerana ia akan jadi lebih creamy dengan gabungan strawberi dan susu itu. Jika korang sejukkan di dalam peti ais, sewaktu nak minum barulah minuman ini diletakkan ais
Hm, tengok pun dah sedap. Selamat mencuba!
Sumber: (1)
Bukan Wanita Je Lelaki Berpakaian Ketat Juga Boleh Jatuh Haram, Ini Penjelasan Mufti

Mungkin ramai tak sangka, lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya.
Walau ada segelintir mengenakan jersi ketat dan pernah menimbulkan perbalahan netizen mengenai aurat wanita, dapat dilihat lelaki turut mengenakan pakaian ketat yang memang biasa dipakai oleh pelumba basikal.
Dipetik dari laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, haram hukumnya jika berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan dan kemudian menjadi tatapan bukan mahram.
Oleh itu, baik wanita mahupun lelaki dinasihatkan perlu menjaga etika pemakaian dengan memakai pakaian yang tebal atau memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan mereka
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” Surah An-Nur, ayat 24-30″
Dapat dilihat jersi dipakai lelaki ada kalanya tidak menutup lutut saat berkayuh. Sebelum ini, perkongsian dari Ustaz Syed Syahridzan Ben Agil mengenai pakaian sukan ketat.
Jika kita pertikaikan aurat wanita ketika berbasikal, fahami juga apa hukumnya untuk lelaki mengenakan pakaian ketat yang menjadi pemandangan biasa kita lihat setiap hari atau hujung minggu.
Pakaian Sukan Ketat
Wanita yang minat sukan berbasikal dan aktiviti-aktiviti sukan yang lain sambil memakai pakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) hukumnya jelas lagi nyata tanpa perlu kepada fatwa mufti.
Ini kerana ia termasuk dalam urusan agama yang ‘tidak boleh tidak’ mesti dan pasti diketahui hukumnya (المعلوم من الدين بالضرورة), tidak kira orang awam atau tidak, semuanya tahu hukumnya haram yang nyata.
Saya pernah ditanya tentang kenyataan para ulama Syafi’iyyah yang menyatakan wanita yang memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya makruh. Adakah hukum makruh ini boleh dibawa di luar solat? Jawapan sudah tentu TIDAK. Ini kerana jelas dalam kitab-kitab fiqh menjelaskan hukum itu dalam bab solat sahaja bukan situasi luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi/bukan mahram.
Buktinya apabila fuqaha membicarakan tentang aurat lelaki mahupun perempuan, mereka memfatwakan berdasarkan situasi berbeza. Contoh ulama syafi’iyyah menyatakan wajah wanita ketika solat tidak wajib ditutup, manakala di hadapan lelaki ajnabi mereka wajib menutup wajah mereka menurut pendapat muktamad (ada pendapat kedua dalam mazhab Syafi’ie wanita harus mendedahkan muka jika aman dari fitnah).
Sama juga perkara yang melibatkan aurat lelaki yang mana para fuqaha menyatakan bahawa aurat lelaki ketika solat paling minimum antara pusat dan lutut. Namun apabila seorang lelaki berhadapan dengan wanita ajnabi maka lelaki itu wajib menutup tubuh badan mereka. Dalam erti kata yang lain haram si lelaki berlengging (tidak berbaju) di hadapan wanita ajnabi. Jelas bukan? Fatwa berbeza berdasarkan situasi yang tak sama.
Dalam kitab al-Majmu’ (rujukan utama kitab fiqh Syafi’ie), imam nawawi menjelaskan maksudnya perkataan نساء كاسيات عاريات (Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang) dalam hadis sahih adalah wanita yang menzahirkan kecantikan tubuh badan mereka meskipun berpakaian, wanita sebegini termasuk dalam dua golongan ahli nereka. Maka jelas di sini menurut ulama wanita berpakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi haram hukumnya. Yang makruh hanyalah ketika solat berseorangan atau bersama mahramnya.
Hukum lelaki memakai pakaian ketat termasuk pakaian sukan. Dalam kitab fiqh menyatakan lelaki memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya “Khilaf Awla” iaitu lebih afdal ditinggalkan. Namun jelas apa yang dinyatakan ini berkait rapat ketika solat dan berbeza di luar solat terutama di hadapan wanita ajnabi. Sepakat para ulama dari mana-mana mazhab pun bahawa apa jenis pakaian dan ketrampilan lelaki yang boleh menimbulkan syahwat dari pihak wanita hukumnya haram.
Oleh itu tidak mustahil lelaki yang berbadan cantik, slim dan sado mampu menaikkan syahwat wanita yang melihatnya. Jika tidak, mengapa Allah perintahkan wanita agar menjaga mata mereka seperti yang dinyatakan dalam surah al-Nur, ayat 31? Lelaki boROY yang berpakaian ketat pun ada wanita yang bersyahwat .
Konklusinya lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya, oleh itu sewajarnya dielakkan. Bayangkan isteri orang boleh puji ‘kesadoan’ badan lelaki ajnabi. Suami orang jangan cakaplah, lebih ramai yang puji dan terpikat dengan kecantikan tubuh badan wanita lain. Ini hakikat yang perlu diterima kerana kita kita hidup dalam persekitaran yang tidak sihat. Orang yang dipuji akan berasa bangga tetapi sedarkah pujian itu hasil dari perbuatan dosa?
Akhir sekali segala keputusan dalam menentukan gaya hidup berada di tangan kita sendiri. Kita yang menentukan sama hidup kita ini tunduk pada syariat Allah atau tidak. Tidak salah bersukan tetapi biarlah ia berlandaskan patuh syariah. Sebagai suami anda bertanggungjawab mendidik isteri anda sendiri ke jalan yang diredhai Allah ta’ala. Jangan pula suami berperanan sebagai ajen penyebarkan perbuatan yang salah di sisi agama.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Fb Ustaz Syed Syahridzan Ben Agil
Krispy Kreme Malaysia Lancarkan Cawangan Pandu Lalu Terbaru Di Selangor

Siapa sini penggemar donut Krispy Kreme? Sejak bermulanya PKP, servis pandu-lalu telah meningkat kerana mungkin ada ramai diantara kita yang tidak mahu keluar dari kereta untuk membeli makanan, dan pada yang sama kita juga ingin mengurangkan interaksi sesama manusia.
Pengumuman ini telah dibuat menerusi perkongsian di Facebook Krispy Kreme Doughnuts Malaysia pada 11 Jun yang lalu..
Menurut pengumuman yang dibuat oleh Krispy Kreme Malaysia, cawangan pandu lalu ini bakal dibuka di Rimbayu, bermula 15 Jun ini..

Jadi, mulai hari ini, korang boleh dapatkan donut dan air kegemaran korang daripada Krispy Kreme. Sekarang lebih mudah dengan pandu-lalu, kalau korang craving donut, boleh pandu lalu je! Tak payah dah nak kena turun kereta dan beratur untuk membeli Krispy Kreme..
Sepanjang musim PKP 3.0 ini, cawangan ini akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
Sekadar info tambahan, jika ada diantara korang yang dah divaksinasi, korang layak untuk tebus satu Original Glazed Donuts secara percuma, dengan mana-mana pembelian donut Krispy Kreme. Walaubagaimanapun, tawaran ini hanya boleh digunapakai dalam tempoh 14 hari daripada waktu korang divaksinasi tau!
Jadi, penduduk Selangor cepat-cepatlah pergi dapatkan donut korang!
5 Petua untuk Membantu Anda Menikmati Tarawih Ramadan Ini!

Ramadan datang lagi! Umat muslim di seluruh dunia pasti teruja akan kehadiran Ramadan yang sentiasa ditemani dengan pelbagai juadah lazat. Namun, Ramadan juga hadir dengan penambahan baharu yang indah kepada rutin harian seorang Muslim iaitu solat tarawih. Sungguh menakjubkan apabila melihat para lelaki, wanita dan kanak-kanak tanpa mengira umur dan darjat bergegas ke masjid selepas berbuka puasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Petua Menarik Tanpa Guna Ubat Yang Perlu Ketahui, 100% Bahan Semula Jadi
Namun selepas seharian berpuasa, sesetengah dari kita mungkin akan berasa penat dan lesu untuk menunaikan ibadah sunat tersebut. Berikut adalah beberapa langkah praktikal yang boleh membantu anda menikmati tarawih Ramadan kali ini:
Ingatkan diri anda peluang ini hanya muncul sekali dalam setahun
Antara alasan yang acap kali diberikan untuk menghalang kita daripada pergi ke masjid ialah kerja yang berlambak, homework dan assignment yang membukit. Maka, tanamkan dalam diri – “Ia hanya sekali setahun”. Diriwayatkan oleh Abu Huraira: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda mengenai Ramadan, “Sesiapa yang solat malam di dalamnya (bulan Ramadhan) kerana Iman yang ikhlas dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Sahih Bukhari: Jilid 3, Buku 32, Nombor 226)
Tinggalkan hal duniawi di rumah
Pastikan semua kerja anda diuruskan sebelum anda berangkat ke masjid. Rancang hari anda supaya segala urusan seperti kerja rumah dan assignment diselesaikan terlebih dahulu agar ibadah tarawih dapat dilaksanakan dengan aman. Bak kata mat saleh; clean space equals to clean mind.
Pergi ke masjid dengan kawan atau keluarga
Dengan cara ini, semua orang dapat mengimarahkan lagi masjid dan saling memberi semangat sekiranya ada yang berasa lesu mahupun mengantuk. Anda juga boleh carpool (kongsi kereta) bersama rakan-rakan anda terutama bagi mereka yang menetap di kawasan kejiranan yang berdekatan. Balik dari masjid bolehlah singgah ke restoran mamak untuk pekena teh tarik dan roti canai.
Pastikan anda hadir ke masjid awal
Faktor masa amatlah penting bagi mengelakkan dari rasa tergopoh-gopoh. Sebaiknya, hadirlah ke masjid 5-10 minit sebelum solat bermula. Sebaik sahaja sampai, anda boleh menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan mengisi masa dengan membaca Al-Quran.
Jangan lupa bawa botol air
Suasana di masjid yang panas, bahang dan berhimpit-himpit akan menyebabkan anda rasa tidak selesa. Maka, bawalah botol air bersama anda untuk menyegarkan diri sepanjang waktu. Untuk meningkatkan kebaikan dan pahala, anda boleh bawa beberapa tambahan botol air untuk disedekahkan pada jemaah lain yang solat di masjid tersebut.
Perlulah diingati bahawa setiap perbuatan dan ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadhan akan berlipat ganda dan dirahmati. Maka rebutlah peluang yang ada dengan mengerjakan solat sunat tarawih dan amalan sunat yang lain.
BACA LAGI: Mata Sukar Nak Lelap? Cuba Tips Ini Untuk Tidur Yang Lena
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Pexels